Gelak Pada Najib Sampai Penat...

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin hari ini mempersenda kenyataan Datuk Seri Najib yang mengulas mengenai punca kekalahannya pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Kata Hanipa bagi orang yang memahami realiti politik di negara ini, semuanya akan kepenatan ketawa apabila melihat kenyataan dibuat Najib.

Katanya apa yang didakwa Najib itu diketahui ramai sebagai tidak benar kerana keadaan sebenar amalan demokrasi di negara ini - sebelum PRU ke-14 - sama sekali berbeza daripada dakwaan bekas perdana menteri itu.

"Dalam mana-mana negara yang proses demokrasinya defisit seperti negara ini ketika ia di bawah rejim parti Najib dulu, mana ada even playing field (padang yang sama rata)?
"Pihak parti memerintah pada masa itu - semua orang tahu - mendominasi 'padang' berbanding pembangkang (Pakatan Harapan)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kelmarin Najib mendakwa kekalahan BN pada PRU lalu terjadi kerana partinya bersaing secara tidak adil dengan HARAPAN selain faktor penipuan, fitnah dan janji palsu yang ditabur.
"Kita kalah kerana penipuan, fitnah, dan janji palsu. Kalau even playing field (padang yang sama rata), saya percaya Umno boleh menang," katanya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur pada 3 Nov. 

Untuk rekod sebelum 9 Mei lalu BN ialah kerajaan pusat serta menguasai semua negeri kecuali Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang.

Kata Hanipa jika 'padang' PRU ke-14 lalu benar-benar seimbang ada kemungkinan besar BN akan kalah jauh lebih besar berbanding apa yang terjadi pada 9 Mei lalu.

"Even playing field? Janganlah melawak sampai tahap tu YB. Penatlah kami gelak," katanya.

Menurut Hanipa dalam keadaan persaingan yang tidak seimbang itu HARAPAN berjaya juga mengalahkan BN selepas menguasai kerusi di Dewan Rakyat, serta sebahagian besar negeri.

Kata anggota parlimen Sepang itu BN juga bernasib baik kerana ketika kelebihan memihak kepada mereka parti terbabit turut dibantu PAS.

"(Keputusan) itu tak termasuk (kesan) parti pembangkang (lain) yang istiqamah menghembus nyawa kepada YB dan parti YB," katanya lagi.

Malaysiakini

Post a Comment

3 Comments