Guan Eng - Janji PTPTN Tidak Dapat Ditunaikan Kerana Jho Low Ambil Duit RM50 Billion


Janji kerajaan berhubung bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sukar ditunaikan berikutan kedudukan semasa fiskal negara.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, yang mengakui wujud pelbagai kritikan berhubung isu berkenaan bagaimanapun berkata, kerajaan tidak mempunyai sebarang pilihan lain.

“Saya terima kritikan ini (kerana kita memang) nak laksanakan (janji untuk menangguhkan bayaran balik PTPTN), cuma (ia sukar dilakukan apabila) melihat kepada kedudukan fiskal negara.
“Apa saja boleh dilakukan kerajaan ketika ini? Kalau Jho Low tidak ambil RM50 bilion, sudah pasti ia boleh dilakukan, tapi apa boleh buat,” katanya merujuk kepada ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho yang turut dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Guan Eng berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran portal pembiayaan rumah, FundMyHome.com di Hulu Langat, hari ini.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, sebelum ini dilaporkan berkata, mana-mana peminjam yang berpendapatan RM4,000 ke bawah diberi penangguhan bayaran balik PTPTN, seiring usaha kerajaan meringankan bebanan rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup.

Bagaimanapun, jaminan itu menyaksikan perubahan apabila Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2019 mengumumkan bahawa peminjam PTPTN yang berpendapatan lebih RM1,000 akan dikenakan potongan gaji berkadar antara dua hingga 15 peratus.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, potongan mengikut kadar pendapatan dan tanggungan itu adalah penyelesaian alternatif yang terpaksa dilaksanakan kerajaan bagi menjamin kelestarian dana PTPTN.

“Sebab itu kita beri pilihan (potongan gaji), iaitu antara dua hingga 15 peratus,” katanya.

Harian Metro

Post a Comment

1 Comments

  1. itu jela alasan ko ada eng. nk ckp mcm mana lagi

    ReplyDelete