Kasihan Penduduk Port Dickson, Mohon Anwar Bertindak Cepat

Ribuan penduduk di daerah ini dihimpit kesulitan selepas bekalan air terjejas akibat kejadian tebing runtuh di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi dekat sini sejak Khamis lalu.

Seorang penduduk, Jamil Khamis, 54, berkata, gangguan bekalan air yang masuk hari ketiga hari ini menyulitkan urusan seharian penduduk.

"Tidak banyak lori bantuan menghantar bekalan air bersih masuk ke kawasan penduduk yang terputus bekalan air setakat ini.

"Tangki statik yang diletakkan di masjid-masjid pula hanya untuk tujuan kecemasan seperti kematian dan kenduri. Kami pun nak hidup, masak dan mandi semua guna air," katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Haliza Zainuddin, 34, berkata, beliau terpaksa membeli air mineral untuk kegunaan seharian namun bekalan air tersebut di kedai-kedai di sini semakin berkurangan.

"Ada penduduk terpaksa berulang-alik ke Seremban semata-mata untuk membeli air mineral bagi kegunaan seisi keluarga," ujarnya.

Sementara itu, Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains) memaklumkan syarikat itu melakukan penyelenggaraan bagi menghadang limpahan air di loji berkenaan, namun tebing itu runtuh semula tengah hari tadi.

"Penutupan LRA Sungai Linggi kali ini dijangka mengakibatkan gangguan melebihi 48 jam," kata Sains dalam satu kenyataan hari ini.

Utusan

Post a Comment

0 Comments