Najib Arah Sembunyikan Kehadiran Jho Low Dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB

Najib sebelum ini mengatakan beliau tidak kenal Jho Low. Kenyataan ini dipinda kemudiannya, menyatakan bahawa beliau kenal Jho Low tetapi hanya dari segi professional.

Jabatan Audit Negara Malaysia (JANM) mengesahkan bahawa Jho Low menghadiri mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB.

Fakta ini bagaimanapun diminta disembunyikan atas arahan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, melalui ketua setiausaha sulit beliau ketika itu, menurut kenyataan dikeluarkan JANM awal Ahad.

Penyembunyian fakta ini dikatakan dibuat melalui pengguguran beberapa perenggan dalam Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Menurut JANM, terdapat dua pengguguran penting yang telah dilakukan;

  1. Berkaitan status akaun kewangan 1MDB, dan 
  2. Mengenai kehadiran Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB.


Kenyataan yang dikeluarkan JANM itu turut menamakan beberapa bekas tokoh kerajaan yang penting, termasuk bekas ketua setiausaha sulit kepada perdana menteri, Tan Sri Shukry Salleh, bekas ketua setiausaha negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan bekas ketua audit negara Tan Sri Ambrin Buang.

Ia juga melibatkan bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda, dalam kapasitinya membuat keputusan penting berhubung proses pengguguran fakta dalam Laporan Audit 1MDB ini.

Menurut JANM, pada 20 Februari 2016, Shukry meminta JANM membentangkan laporan audit akhir mengenai 1MDB kepada perdana menteri untuk perbincangan lanjut.

JANM kemudiannya mendakwa, laporan audit akhir ini dikemukakan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC).

JANM mendakwa, disebabkan perlunya membuat pindaan dan pengguguran fakta dari laporan audit 1MDB, mesyuarat PAC yang pada asalnya dijadual untuk diadakan pada 24 Februari 2016, ditangguh hingga ke 4 dan 7 Mac 2016 bagi memberi masa kepada JANM membuat pindaan-pindaan.

Laporan Akhir Pengauditan 1MDB yang mempunyai penyembunyian fakta ini kemudiannya dibentangkan kepada PAC pada 4 dan 7 Mac 2016.


PENGGURAN PENTING PERTAMA

Pada 22 Februari 2016, Najib, melalui Shukri, telah mengarahkan dua perenggan digugurkan dari Laporan Akhir Pengauditan 1MDB berkaitan dengan fakta tentang akaun kewangan 1MDB untuk tahun berakhir 31 Disember 2014. Pertemuan ini dihadiri Ali, Shukry dan Ambrin, antara lain.

Alasan yang diberikan Shukry untuk menggugurkan dua perenggan ini adalah bagi membenarkan siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa.

Pada 23 Februari 2016, JANM telah mengklasifikasikan 1MDB sebagai sebuah 'krisis'.


PENGGURAN PENTING KEDUA

JANM mendakwa bahawa Najib kemudiannya mengarahkan satu lagi fakta untuk disembunyikan. Kali ini berkaitan dengan Jho Low menghadiri mesyuarat 1MDB.

Dalam satu mesyuarat pada 24 Februari 2016 yang dihadiri Ali, Shukry, Ambrin dan Arul, bersama wakil Pejabat Peguam Negara dan Kementerian Kewangan, JANM mendakwa terdapat beberapa lagi perenggan dan petikan lain yang diminta dipinda dan digugurkan.

Pada 25 Februari 2016, pasukan audit 1MDB diarahkan oleh Ali untuk menghadiri mesyuarat di pejabatnya, bersama-sama dengan Arul, bagi membincangkan maklumat lanjut mengenai Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

JANM mendakwa bahawa Shukry, atas arahan Najib, mengarahkan bekas pengarah audit untuk membuang satu perenggan yang membuktikan bahawa Jho Low ada menghadiri mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB.

Shukry mendakwa penyembunyian fakta ini adalah penting dan sensitif, dan harus dibuat untuk mengelakkan pihak pembangkang memanipulasikan isu ini.

Pada 28 Februari 2016, Laporan Akhir Pengauditan 1MDB telah dipinda untuk mengecualikan kehadiran Jho Low dalam mesyuarat 1MDB dan dokumen yang telah dipinda ini kemudiannya diserahkan kepada Ali untuk tindakan selanjutnya.

Pada 1 Mac 2016, Ali sekali lagi memanggil pasukan Audit ke pejabatnya untuk membincangkan dokumen laporan audit ini. Dalam sesi ini, menurut JANM, hanya ada dua individu yang hadir, iaitu Arul dan Ali sendiri.

Dalam pertemuan ini, kedua-dua Arul dan Ali dilaporkan meneliti dokumen akhir, yang mana, peninggalan dan/atau pindaan selanjutnya turut diperintahkan.

Laporan Akhir Pengauditan 1MDB ini kemudian dicetak pada 2 Mac 2016. Keesokan harinya pada 3 Mac 2016, dua salinan laporan diberikan Ali kepada Shukry. Pada 4 dan 7 Mac 2016, Ambrin mempersembahkan laporan audit ini di hadapan PAC.

JANM mengatakan bahawa Laporan Akhir Pengauditan 1MDB yang asal dan tidak mengandungi apa-apa pindaan dan pengguguran telah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis pada tahun ini untuk tindakan seterusnya.

Post a Comment

0 Comments