Najib Jawab "Ratifikasi ICERD Zaman BN"

Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah memutus atau mengumumkan sebarang usaha meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) kerana sudah mengetahuinya bertentangan dengan asas negara.

Kajian yang dijalankan oleh Jawatankuasa Teknikal ICERD di Jabatan Perpaduan dan Integriti Nasional di bawah Pejabat Perdana Menteri pada 2011 dan 2015 mendapati triti berkenaan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial yang dicapai semasa pertubuhan negara.

Hasil daripada kajian itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil keputusan bahawa masih belum sampai masa dan masih lagi tidak sesuai untuk negara meratifikasi ICERD.

“Justeru, kerajaan BN tidak pernah memutuskan ataupun mengumumkan bahawa kita akan menandatangani ICERD. Malah tanpa ICERD, kerajaan BN masih dapat menjaga kepentingan dan hak-hak semua kaum di negara kita ini.

“Kita masih boleh memastikan keadilan dan keseimbangan dalam perkongsian kekayaan negara dan memastikan usaha itu bersifat inklusif untuk semua,” katanya dalam status Facebook, hari ini.

Najib turut merasakan usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) meratifikasi ICERD wajar dihentikan kerana perkara berkenaan telah mencetuskan keresahan dan kemarahan dalam kalangan rakyat.

Beliau berpendapat, buat masa ini adalah lebih baik jika kerajaan memberi tumpuan kepada memulihkan kembali ekonomi yang semakin menurun serta tenat.

“Ekonomi yang tidak baik akan menyumbang kepada keresahan dan kemarahan masyarakat serta bakal mencetuskan kejadian yang tidak diingini. Sepatutnya membina perpaduan dan bukan memecahkan perpaduan dan harmoni kita,” katanya.

Utusan

Post a Comment

0 Comments