Nyawa adalah termasuk dalam lima perkara asas dalam maqasid syariah, iaitu memelihara agama, akal, nyawa, harta dan keturunan.
Bermakna kelima-lima perkara ini menjadi antara tujuan Allah menurunkan syariatnya. Perkara ini disebut sebagai al dharuriyyah al khamsah. ( Lima perkara yang menjadi keperluan utama).
Ia bermaksud bahawa nyawa perlu diselamatkan semampu mungkin dan manusia diminta memelihara nyawanya dan nyawa orang lain dalam apa jua keadaan dan mengelak berlakunya pembunuhan.
Islam melarang pembunuhan tanpa hak walau di saat berlakunya peperangan. Terdapat beberapa golongan yang dilarang oleh syariat daripada dibunuh meskipun saat berlaku peperangan seperti, kanak-kanak, wanita, paderi, sami, dan mereka yang berlindung di rumah ibadah, dimana mereka tidak terlibat dalam peperangan. Bahkan Islam melarang penebangan pohon yang mereka tanam.
Kalau disaat perang pun tidak dibenar melakukan pembunuhan sewenang-wenangnya, apa lagi di kala aman.
Namun ia bukanlah bermaksud Islam mengharamkan pembunuhan atau hukuman mati secara mutlak, sebaliknya hukuman mati mestilah dalam lingkungan yang dibenarkan oleh syarak dan tidak melampaui batas.
Terdapat beberapa peruntukan undang-undang syarak yang meletakkan hukuman mati, seperti dalam jenayah Qisas, Zina Mukhsan, Hirabah, Riddah dan Bughah namun hanya satu kes sahaja dalam katogeri mandatori iaitu zina mukhsan. Manakala yang lain masih ada ruang untuk tidak dihukum mati mandatori
1. Kes rompakan dan bunuh ( hirabah) berdasarkan firman Allah
إِنَّمَا جَزَاءُ الَّذِينَ يُحَارِبُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَسْعَوْنَ فِي الْأَرْضِ فَسَادًا أَنْ يُقَتَّلُوا أَوْ يُصَلَّبُوا أَوْ تُقَطَّعَ أَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُمْ مِنْ خِلَافٍ أَوْ يُنْفَوْا مِنَ الْأَرْضِ ۚ ذَٰلِكَ لَهُمْ خِزْيٌ فِي الدُّنْيَا ۖ وَلَهُمْ فِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ
Hanyasanya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar.
Surah Al-Ma'idah, Ayat 33.
Ternyata Allah tegaskan bahawa mereka masih mempunyai kesempatan untuk tidak dihukum bunuh, sekiranya ia bertaubat sebelum kesnya diputuskan oleh mahkamah.
Dengan kata lain ia boleh dijatuhkan hukuman di bawah kaedah takzir oleh hakim.
إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا مِنْ قَبْلِ أَنْ تَقْدِرُوا عَلَيْهِمْ ۖ فَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Kecuali orang-orang yang bertaubat sebelum kamu dapat menangkapnya, (mereka terlepas dari hukuman itu). Maka ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Sura Al-Ma'idah, Ayah 34
2. Zina mukhsan ( Orang dah berkahwin melakukan zina). Ini berdasarkan hadis nabi .
Orang tua (telah berkahwin) dan wanita yang sudah bersuami, bilamana sabit kesalahan zinanya, maka hendaklah kamu rejam mereka sampai mati.
Manakala kesalahan lain yang melibatkan hukum mati, namun ianya bukan mandatori. seperti;
3. Hukum Qisas.
Dalam kesalahan bunuh, Allah menetapkan hukuman mati namun ia masih boleh dikenakan diat ( ganti rugi ) dan mendapat kemaafan dari keluarga si mati. Ini berdasarkan firman Allah;
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِصَاصُ فِي الْقَتْلَى ۖ الْحُرُّ بِالْحُرِّ وَالْعَبْدُ بِالْعَبْدِ وَالْأُنْثَىٰ بِالْأُنْثَىٰ ۚ فَمَنْ عُفِيَ لَهُ مِنْ أَخِيهِ شَيْءٌ فَاتِّبَاعٌ بِالْمَعْرُوفِ وَأَدَاءٌ إِلَيْهِ بِإِحْسَانٍ ۗ ذَٰلِكَ تَخْفِيفٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَرَحْمَةٌ ۗ فَمَنِ اعْتَدَىٰ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَلَهُ عَذَابٌ أَلِيمٌ
Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman "Qisas" (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan. Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Surah Al-Baqarah, Ayat 178
4. Murtad.
Murtad atau keluar dari agama Islam tanpa paksaan adalah satu kesalahan besar dalan Islam. Agama bukan bahan mainan yang boleh keluar dan masuk sesuka hati. Berdasarkan nas hadis Rasulullah SAW
من بدل دينه فاقتلوه.
Sesiapa yang menukar ( murtad ) agamanya maka hendaklah kamu membunuhnya.
Bahkan sejarah riddah di zaman Saidina Abu Bakar membuktikan hal ini. Namun ianya bukanlah bersifat mandotori kerana ia masih diberi peluang bertaubat dan kembali kepada agama Islam.
Bahkan tempoh untuk mereka dipujuk agar kembali kepada agama Islam mengambil masa yang agak panjang, walau ia berbeza menurut pandangan para ulamak.
5. Bughah yakni mendurhakai kerajaan Islam yang adil dan baik dalam pentadbiran mereka.
Islam meletakkan soal ketaatan rakyat kepda penimpin yang adil adalah satu kewajipan. Menentang secara bathil dengan mendurhakai kerajaan dan berusaha menumbangkan kerajaan tersebut secara tidak syarie adalah satu jenayah yang boleh dihukum bunuh.
Ini berdasarkan dalil ;
وَإِنْ طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا ۖ فَإِنْ بَغَتْ إِحْدَاهُمَا عَلَى الْأُخْرَىٰ فَقَاتِلُوا الَّتِي تَبْغِي حَتَّىٰ تَفِيءَ إِلَىٰ أَمْرِ اللَّهِ ۚ فَإِنْ فَاءَتْ فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا بِالْعَدْلِ وَأَقْسِطُوا ۖ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
Surah Al-Hujurat, Ayat 9
Namun ia juga tidak bersifat mandatori. Pesalah mesti dipanggil, diberi peluang menyatakan sebab penentangan mereka dan diperbetulkan kefahamannya dan dijelaskan akibat tindakannya.
Setelah pelbagai penerangan dilakukan, dan masih berterusan melakukan bughah, maka baharulah mereka boleh diperangi dan hukuman bunuh boleh dilaksanakan.
Dengan kata lain, kes bunuh mandatori hampir tiada dalam Islam. Namun ia bukan bermakna kita boleh hapuskan hukum mati. Kerana penjenayah dan pesalah ada hadnya bagi membimbing merweka ke arah kebaikan.
Namun sekiranya berterusan ia mesti dilakukan hukuman mati. Kerana mudharat menyimpan penjenayah sedemikian hanya akan mendatangkan mudharat yang lebih besar bagi rakyat dan negara.
Isu Pengedar dadah.
Islam tidak memasukkan pengedar dadah sebagai kesalahan hudud, yang terikat dengan hukum dan kesalahan yang ditentukan oleh syarak.
Pengedaran dadah satu kesalahan besar yang sangat merosakkan. Namun ia dikategori dibawah hukum takzir. Dengan kata lain, ia tidak boleh dihukum mandatori mati.
Pelbagai sudut perlu dilihat dalam jenayah pengedaran dadah ini seperti berlakunya penganiyaan, keldai dadah, dipaksa atau membawa barangan diluar pengetahuan dan sebagainya Lantaran itu meletakkan kesalahan ini dibawah hukum mandotari mati adalah suatu kezaliman.
Namun dibawah kesalahan takzir, hakim boleh menjatuhkan hukuman mati sekiranya didapati pesalah benar-benar mendatangkan kerosakan kepada rakyat dan negara.
Ianya sama dengan kesalahan rasuah, senjata api, dan jenayah lain yang tidak dikatogerikan di bawah kesalahan hudud.
Kesimpulan.
Tindakan menghapuskan hukuman mati adalah bercanggah dengan pembinaan negara sejahtera dan masyarakat yang harmoni.
Kerajaan tidak perlu menghantar isyarat yang salah kepada penjenayah dan pengedar dadah.
Berita penghapusan hukuman mati tentunya menggembirakan penjenayah dan mendukacitakan mangsa jenayah.
Manakala hukuman mandatori mati juga perlu diteliti agar ia tidak mendatangkan penganiyaan kepada mangsa penjenayah seperti keldai dadah, membawa barangan yang dikirim tanpa pengetahuan serta pelbagai kes penganiyaan lain.
Maka PAS mencadangkan sebuah Jawatankuasa pilihan Parlimen yang terdiri dari pelbagai pihak diwujudkan bagi melakukan perbincangan teliti sebelum ianya dibentangkan sebagai rang undang-undang di Parlimen.
Tuan Ibrahim bin Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
MP Kubang Kerian.
1 Comments
Yang babitkan Hadis tu. Kenapa tidak perjelas daripada hadis mana
ReplyDelete