Ku Nan Didakwa Pertuduhan Menerima RM2juta

Bekas menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menerima RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan berhubung perjanjian tanah membabitkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ahli Parlimen Putrajaya itu didakwa menerima jumlah itu tanpa pertimbangan daripada Cai Kin Kong melalui sekeping cek daripada Aset Kayamas Sdn Bhd, walaupun tahu Aset Kayamas, Sinerjuta Sdn Bhd, Fiber Vista Sdn Bhd, Era Ecoland Sdn Bhd, Garuda Searah Sdn Bhd dan Ujana Mutiara Sdn Bhd yang mempunyai urusan dengan kementeriannya.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Bank CIMB cawangan Pusat Bandar Damansara pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 2 tahun dan denda.

Hakim, Azman Ahmad membenarkan beliau diikat jamin RM500,000 bersama seorang penjamin.

Pada 15 November lalu, Tengku Adnan yang lebih dikenali sebagai Ku Nan mengaku tidak bersalah di depan Azman atas 2 pertuduhan menerima RM3 juta daripada 2 pemaju hartanah berhubung transaksi tanah milik DBKL.

Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa menerima RM1 juta daripada pemaju, Datuk Tan Eng Boon yang didakwa memberi rasuah dan bersubahat dengannya.

Tan turut didakwa di mahkamah pada hari sama.

Pertuduhan pertama dibuat di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dengan pertuduhan pilihan dilakukan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan ke-2, Ku Nan didakwa menerima RM2 juta daripada Cai.

Terdahulu, hakim membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim untuk melepas tanpa membebaskan Ku Nan daripada pertuduhan menerima rasuah RM2 juta, 2 tahun lalu, atas alasan fakta kes RM1 juta berlainan.

“Kami mendapati fakta dalam pertuduhan itu (pertuduhan pertama dan ke-2) tidak berkaitan dan tidak sewajarnya dibicarakan bersama. Bagaimanapun, kami akan memfailkan semula pertuduhan ke-2 dan akan dibacakan semula sebagai pertuduhan berasingan yang baharu,” kata Julia.

Kedua-dua kes itu dijadualkan didengar di depan hakim sama.

Peguam, Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Ku Nan kemudiannya memberitahu FMT, kedua-dua kes itu akan didengar hakim berbeza.

“Seorang hakim tidak boleh mendengar kedua-dua kes kerana fakta kes itu berbeza sama sekali.”

Permohonan memindahkan kes RM1 juta ke Mahkamah Tinggi akan didengar Jumaat ini, manakala sebutan semula kes RM2 juta ditetapkan 7 Januari depan.

FMT

Post a Comment

0 Comments