Pulangkan Kembali Wang Pampasan RM1.5juta & Tapak Tanah 1ekar


Pengurusan Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield perlu memulangkan semua tanah dan wang pampasan yang diterima daripada pemaju sebelum ini.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ia membabitkan tapak tanah seluas 0.405 hektar (1 ekar) dan wang pampasan berjumlah RM1.5 juta.

"Kerajaan Negeri Selangor berpandangan tapak tanah dan wang pampasan yang diberikan oleh pemaju haruslah dipulangkan semula sebagai sebahagian daripada penyelesaian yang dicadangkan oleh Peguam Negara.

"Kerajaan Negeri Selangor menyambut baik kenyataan Peguam Negara berkenaan isu Kuil Seafield dan bersetuju dengan penyelesaian yang dicadangkan oleh Peguam Negara yang menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Peguam Negara, Tommy Thomas bertarikh 14 Disember berhubung isu kuil terbabit.

Tommy dalam kenyataanya berkata, tertakluk kepada terma dipersetujui, One City Development Sdn Bhd akan memindah hak milik plot tanah seluas satu ekar terletaknya Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya kepada pemegang amanah yang akan diuruskan oleh Mahkamah Tinggi.

Menurutnya, pada awal minggu ini, terdapat pertemuan dengan peguam daripada pelbagai pihak yang terbabit dalam kekecohan baru-baru ini di kuil itu dengan pihaknya.

Beliau berkata, pihaknya menyokong beberapa cadangan penyelesaian yang dikemukakan di dalam pertemuan itu.

"Sebagai Peguam Negara saya akan memohon kepada Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 9 Akta Prosiding Kerajaan 1956 untuk melantik pemegang amanah bagi menguruskan amanah dan kuil itu.

“Mahkamah Tinggi akan melantik pemegang amanah daripada seorang yang mempunyai reputasi yang baik dan berintegriti serta boleh diterima oleh semua pihak yang bertelagah sebagai pegawai mahkamah yang mempunyai kawalan terhadap pemegang amanah kuil,” katanya.

Beliau berkata, pada masa yang sesuai Mahkamah Tinggi akan diminta memindahkan hak milik kuil itu kepada pemegang amanah.

“Bagi memastikan tiada berat sebelah dan kekal neutral di kalangan semua pihak berkaitan kuil, Peguam Negara berharap akan dapat dijadikan pihak dalam semua permohonan di Mahkamah Tinggi.

“Atas semangat persetujuan bersama dan pendekatan bertolak ansur oleh semua pihak yang terbabit, semoga penyelesaian berhubung pertikaian ini akan dicapai pada masa akan datang,” katanya.

Harian Metro

Post a Comment

0 Comments