Dalam Keluarga Saya, 300 Orang Ditahan Di Kem Itu - Hassan (Uighur)

Pada satu petang musim sejuk, Mohammad Hassan Abdul Hameed, 34, berjalan menuju ke restorannya melalui kedai menjual kain sutera di Pasar China dekat sini.

Seperti kebanyakan yang lain, Mohammad Hassan merupakan etnik Uighur yang berasal dari wilayah Xinjiang di China.

Bapanya tiba ke sini sejak 50 tahun lalu dan bekerja di sebuah rumah tumpangan untuk jemaah Uighur yang ingin menunaikan ibadah haji di Mekah.

Kini, rumah tumpangan tersebut terbiar tanpa penyeliaan dan terletak tidak jauh dari restoran Mohammad Hassan.

Menurut komuniti Uighur di bandar ini, rumah tumpangan ter­sebut ditutup atas desakan China pada 2006.

Portal berita al-Jazeera mela­porkan, etnik minoriti tersebut dilaporkan mula berhijrah ke Pakistan sejak akhir abad ke-19 untuk bekerja sebagai pedagang selain melarikan diri daripada keganasan Komunis China.

Hari ini, penindasan kerajaan China terhadap Uighur menghiasi akhbar dunia ke­rana dianggarkan tiga juta etnik itu ditahan dalam ‘kem pendidikan’ yang bertujuan ‘menulis semula amalan Islam dengan budaya China’.


2,000 ETNIK UIGHUR DI PAKISTAN

Di Pakistan, terdapat kira-kira 2,000 etnik Uighur dan mereka hidup dengan cara yang tidak terlalu menonjol dalam tempoh berabad sehinggakan hanya segelintir penduduk menyedari kehadiran etnik tersebut di sini.

Kerajaan China juga dilapor tidak ‘menyedari’ kehadiran ko­muniti Uighur di negara ini, na­mun sudah mula menekan Pakistan supaya ‘berdiam diri’ berhubung tindakan mereka terhadap etnik berkenaan.

“Mereka (China) mahu ‘melenyapkan’ Uighur. Di sini, kami tidak boleh berbuat apa-apa ke­rana China berada di atas kami,” dakwa Mohammad Hassan.

Keadaan itu menjadi lebih rumit apabila Pakistan didakwa terhutang budi dengan China kerana membantu negara ini keluar dari­pada krisis ekonomi menerusi pelaburan Koridor Ekonomi China-Pakistan bernilai AS$62 bilion (RM254 bilion).

Projek tersebut meng­hu­bungkan Kashgar di Xin­jiang ke kawasan selatan pe­labuhan Gwadar, Pakistan, se­lain China berjanji untuk menyalurkan bantuan dana ke negara ini.

Walaupun Pakistan sering me­nonjolkan penderitaan minoriti Islam di seluruh dunia, ketika datang kepada mereka masalah Uighur, Islamabad kini didakwa bersikap sebaliknya.

Uighur di Pakistan tahu apa yang berlaku di China dan ramai yang masih mempunyai ahli keluarga di Xinjiang. Kebanyakannya terputus hubungan selama dua tahun yang lalu kerana ditahan di dalam kem.

“Dalam keluarga saya, 300 orang ditahan di kem itu. Malah abang saya ada di dalam,” kata Mohammad Hassan.


CERITA SI PEDAGANG SUTERA

Abdul Latif, seorang pedagang sutera, juga mempunyai ahli keluarga di Xinjiang.

“Tiada lagi berita daripada mereka. Kami tidak dapat meng­hubungi mereka. Jika mereka dapat panggilan telefon, walaupun tidak menjawabnya, selepas beberapa jam, polis akan menyoal siasat dan tanya siapa yang menghubungi, apa hubu­ngan, berapa lama sudah me­ngenali, dan dengan alasan-alasan ini, mereka ditahan,” katanya.

Rakannya, Abdul Raheem pula berkata, jika ada etnik Uighur meninggal dunia di sana, tiada siapa yang akan me­la­kukan solat jenazah kerana ‘ketakutan’.

“Ini adalah ketidakadilan yang sangat memalukan,” tegasnya.


KEBIMBANGAN CHINA

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Program Asia di Pusat Wilson, Michael Kugelman memberitahu bahawa komuniti Uighur di Pakistan tetap menjadi kebimbangan buat China biarpun jumlahnya sedikit.

Hal demikian kerana, China ti­dak mahu penduduk Uighur di negara ini yang mempunyai lebih banyak kebebasan bersuara ‘memburukkan’ mereka di mata dunia memandangkan isu berkaitan etnik tersebut sudah mendapat perhatian global.

“Pakistan merupakan sahabat paling rapat China dan hubu­ngan kedua-dua negara itu boleh diibaratkan seperti lebih tinggi dari langit dan lebih dalam daripada lautan,” katanya.


PAKISTAN TERIMA TEKANAN?

Sementara itu, seorang lagi penduduk Uighur di Rawalpindi yang dikenali sebagai Abdul Reh­man mendakwa kerajaan Pakistan menerima tekanan daripada Beijing dan menyebabkannya diberi amaran supaya tidak bercakap tentang Uighur.

Pengasas Yayasan Umer Uighur, Mohammad Umer Khan pula menyatakan masalah antara Pakistan dengan penduduk etnik tersebut semakin meningkat dalam tempoh beberapa tahun lalu.

Jelasnya, tekanan yang dilakukan China menyebabkan Pakistan seperti tidak mahu ‘membela’ nasib Uighur sama seperti mereka menuntut keadilan untuk penduduk Rohingya, Palestin dan Syria yang ditindas.

Tambah beliau, keadaan itu menyebabkan etnik Uighur semakin hilang harapan terhadap negara-negara Islam.



© Utusan Melayu (M) Bhd

Post a Comment

0 Comments