Kesian Mujahid.. Tak Tidur Malam Katanyaaa...

Menjelang setahun pentadbiran PH pada 9 Mei ini, Dr Mujahid Yusof menamakan Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai cabaran paling besar yang perlu dihadapinya selaku menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Tanpa berselindung, Mujahid mengakui skandal TH dan usaha menyelamatkan institusi tersebut bukan saja menuntut pengorbanan tinggi, malah telah menyebabkan PH dilihat tidak popular dalam kalangan rakyat.

“TH (cabaran) paling besar. Keputusan yang berat untuk kita buat, penjelasan yang berat untuk kita berikan.

“Kita menjadi tidak popular, tetapi kita tahu dalam tindakan tidak popular itu, ia adalah untuk kebaikan TH dan juga institusi umat Islam secara umumnya.

“Kalau tanya saya, tak tidur malam, lewat (tidur), berjumpa kerap dengan CEO (ketua pegawai eksekutif) dan pengerusi TH untuk beri penjelasan dan input daripada kami,” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini di Putrajaya semalam.

Tambahnya lagi, usaha menyelamatkan institusi kewangan yang turut melibatkan pakej penyelamatan sebanyak RM17.8 bilion daripada kerajaan itu juga dilakukan agar tidak membebankan kerajaan dan menjejaskan penarafan kredit akibat hutang.

“Akhirnya itulah pakej yang kita kata (sebagai) pemulihan dan penstrukturan semula TH, yang memakan banyak masa saya dan rakan-rakan lain di TH, untuk memulihkannya.

“Setelah semua kepayahan yang kami lalui selama beberapa bulan untuk memulihkan TH, sekarang kami berasa lega, sekurang-kurangnya TH kembali ke landasan tepat, dan kami juga boleh memberi perhatian kepada perkara-perkara lain,” katanya lagi.

Mujahid mengangkat sumpah bersama 12 menteri yang lain pada 1 Julai 2018.

TH dikaitkan dengan masalah pengurusan kewangan apabila pada 2016, Rafizi Ramli membuat dakwaan tentang rizab negatif yang dialami TH untuk dua tahun berturut-turut sebelumnya.

Malah setahun sebelum itu, TH turut terpalit dengan skandal 1MDB apabila ia didakwa membeli sebidang tanah milik firma pelaburan itu pada harga ratusan juta, dikatakan bagi meringankan beban hutang dan membaiki penarafan kredit 1MDB.

Pada tahun lalu, sisasatan dijalankan ke atas TH dengan melibatkan audit terhadap agensi itu untuk tahun 2017, dijalankan oleh firma PriceWaterhouseCoopers.


Bayaran hibah dari deposit

Audit itu mendapati TH membuat bayaran hibah bukan daripada keuntungan yang diperolehinya, sebaliknya daripada deposit ahlinya.

Satu laporan dibentangkan di parlimen pada Disember tahun lalu mendedahkan TH membuat dua perjanjian perniagaan yang menampakkan seolah-olah dividen dibayar menggunakan keuntungan dana, selain beberapa transaksi yang boleh dipersoalkan.

Awal bulan ini pula, dalam satu taklimat, beberapa wakil rakyat PH mendakwa dimaklumkan tentang kerugian tambahan TH sebanyak RM10 bilion pada tahun kewangan 2017 yang tidak dinyatakan dalam laporan badan tersebut.

Pendedahan itu dilakukan tidak lama selepas Mujahid mengumumkan kadar hibah TH sebanyak 1.25 peratus membabitkan agihan sebanyak RM913 juta untuk tahun 2018. Ia adalah hibah terendah dalam sejarah.

Biarpun menamakan TH sebagai cabaran paling besar yang dihadapinya selaku menteri, Mujahid turut mengangkat TH sebagai salah satu daripada tiga kejayaan terbesar yang berjaya dicapai oleh pejabatnya sejak tahun lalu.

Katanya, dalam manifesto mereka, PH berjanji untuk memastikan penyiasatan dilakukan terhadap Felda, 1MDB dan juga TH.

Bagi TH, kata Mujahid, usaha tersebut telah dimulakan sejak Disember 2018 dengan pendedahan laporan kewangan TH bagi tahun 2017 yang mendedahkan defisit RM4 bilion.

Tambahnya lagi, daripada saat itu, pelan pemulihan dirangka sehingga jurang besar antara aset dan tanggungan berjaya diimbangi dan dividen berjaya dikeluarkan tanpa melanggar akta TH- bahawa dividen tak boleh dikeluarkan dalam keadaan aset lebih rendah daripada tanggungan.

“Dengan itu, walaupun tak banyak, dengan untung RM1 bilion, kita berjaya mengeluarkan RM936 juta (pengagihan hibah) pada kadar 1.25 peratus.

“Orang lain nak kata apa, rendah ke apa, tapi kejayaannya ialah kita pulihkan semula tanggungjawab TH kepada akta,” tambahnya.

Selain TH, antara dua lagi kejayaan terbesar yang disebutkan Mujahid ialah reformasi pentadbiran Islam dengan memperkenalkan dasar gagasan negara rahmah yang membawa tiga teras utama; rahmatan lil alamin, maqasid syariah dan model Malaysia.

Satu lagi kejayaan terbesar menurut Mujahid ialah reformasi yang dilakukan sehingga menteri tidak lagi memegang apa-apa kepentingan dalam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan seperti yang lazim berlaku sebelum ini.

Malaysiakini

Post a Comment

1 Comments