Cubaan Sabotaj Unit Amal.. Admin Dr Maza Tidak Beretika?


Jabatan Amal Malaysia (JAM) hari ini mengesahkan salah seorang anggotanya ditahan reman oleh pihak polis bagi membantu siasatan insiden membakar kereta Mufti Perlis pada 22 Mac lalu.

Ketua pengarahnya, Mohd Nazree Mohd Aris, ketika dihubungi Malaysiakini berkata anggota terlibat ditahan reman empat hari mulai semalam.

Bagaimanapun, kata Mohd Nazree beliau pelik dengan penahanan tersebut.

"Saya difahamkan ada suspek utama yang dicari, dan dia bukan anggota Unit Amal, bukan ahli PAS dan kami sendiri tak kenal (suspek).

"Difahamkan suspek utama yang dicari adalah penagih dadah dan dia mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.

Justeru Mohd Nazree berkata pihaknya hairan apabila polis menahan anggota Unit Amal yang tidak terlibat dan tiada sebarang rekod jenayah.

Katanya dua suspek utama yang dilihat terbabit membakar kereta Dr Mohd Asri Zainul Abidin itu ialah penagih dadah dan masih bebas.

Unit Amal ada kredibiliti cemerlang

Menurut Mohd Nazree, JAM - yang menjadi salah satu organisasi dalam PAS - mungkin sedang cuba dianiaya pihak tertentu.

Pada masa sama Mohd Nazree berkata JAM kecewa dengan sikap diambil Mohd Asri kerana memaparkan gambar dua gambar anggota mereka dalam laman Facebook beliau.

Katanya tindakan itu dianggap sebagai tidak bertanggungjawab kerana kedua-dua individu yang dipaparkan itu tidak terbabit dalam kejadian tersebut.

"Itu gambar (dimuat naik di Facebook Mohd Asri), mereka tak tahu dan tak terlibat langsung.

"Jadi, bagi saya apa yang dimuat naik oleh admin Facebook Dr Maza adalah tindakan tidak bertanggungjawab," katanya.

Mohd Nazree berkata, setakat ini tidak ada sebarang tuduhan dikenakan terhadap anggota JAM tersebut dan penahanan dibuat sekadar untuk membantu siasatan.

Oleh demikian, Mohd Nazree JAM sedang mempertimbangkan tindakan lanjut berhubung hantaran tersebut.

"Saya tengah tunggu maklum balas daripada peguam kami," katanya.

Selain itu, Mohd Nazree turut mempersoalkan usaha pihak tertentu yang disifatkan sengaja cuba memburukkan imej Unit Amal dan PAS.

Katanya, langkah itu dibuat mungkin disebabkan JAM mempunyai kredibiliti yang sangat baik sebelum ini.

"Ini semua satu tindakan yang sengaja dilakukan pihak tertentu untuk memalukan kami atas kredibiliti kami yang cemerlang sebelum ini.

"Kami membantu semua pihak dan atas sikap dengki itu maka ada usaha untuk memburukkan nama kami, burukkan nama parti.

"Kami selama ini membantu semua pihak, tak kira PH atau BN, juga semua bangsa dan agama yang ada di negara ini, semua kami tolong," katanya.

Tegas Mohd Nazree, JAM adalah sebuah unit perpaduan yang bertindak membantu semua pihak yang memerlukan pertolongan termasuk ketika rakyat Malaysia ditimpa musibah seperti banjir besar.

"Unit Amal ini adalah unit perpaduan, seperti pengakap yang membantu semua orang.

"Kami tak ada berceramah, kami tak pernah kutuk mana-mana pihak pun, termasuk PH," katanya.

Malaysiakini

Post a Comment

0 Comments