FAMA Pilih Bulu Harumanis..


Kira-kira 70 orang pengusaha harumanis di Felda Mata Ayer di sini resah kerana hasil tanaman mereka dikhuatiri bakal mengalami lambakan sehingga mencecah 10 tan, menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Lambakan tersebut menyebabkan pengusaha tanaman kelompok di kawasan seluas 51.47 hektar itu, dijangka mengalami kerugian sehingga mencecah RM280,000 iaitu hanya dalam tempoh tidak sampai dua minggu lagi.

Lebih memburukkan keadaan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dikatakan tidak dapat membeli dan memasarkan kesemua buah daripada pekebun, sebaliknya hanya mengambil yang berkualiti premium sahaja.

Senario tersebut mengakibatkan harga harumanis kini jatuh sehingga RM10 hingga RM15 sekilogram dan nilainya dijangka semakin turun selepas itu.

Ketua tanaman kelompok harumanis Felda Mata Ayer, Halim Kassim, 66, berkata, dalam tempoh tiga hari iaitu pada 25 sehingga 27 Mei depan sahaja, para pengusaha dijangka mengalami kerugian hampir tiga tan disebabkan FAMA hanya mengambil buah mengikut spesifikasi ketat yang ditetapkan mereka.

Katanya, situasi itu bukan perkara baharu malah sudah berlarutan sejak tiga tahun lalu dengan setiap pengusaha sekurang-kurangnya mengalami lambakan buah sehingga 200 kilogram.

“FAMA datang kebun dan ambil buah yang elok sahaja, sedangkan buah yang tidak cantik tetapi isinya masih baik dan berkualiti tidak diambil. Tindakan tersebut menyebabkan pengusaha mengalami kerugian. Hendak buang mana buah yang banyak itu, kalau nasib baik, ada juga pelanggan datang membeli.
“Sepatutnya FAMA kena bantu pengusaha beli semua buah atau mencari pembeli dan bukannya memilih buah yang elok sahaja. Kami menguruskan tanaman bukan mudah kerana terpaksa mengeluarkan modal yang tinggi.
“Jumlah 10 tan itu hanya sampai Aidilfitri ini sahaja, selepas ini mungkin lambakan akan bertambah jika FAMA tidak membantu kami,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Katanya, FAMA sepatutnya mengunakan pendekatan seperti Padiberas Nasional Bhd. (Bernas) yang mengambil semua hasil namun dengan harga mengikut kualiti barangan itu.

Seorang lagi pengusaha, Ghazali Saad, 62, berkata, dia yang mempunyai 100 batang pokok dijangka mengalami lambakan sehingga 200 kilogram menjelang hari raya nanti jika tidak ada pembeli dalam tempoh berkenaan.

“Saya jangka jika FAMA tidak terlalu mengetatkan pemilihan dalam mengambil buah, ia akan membantu para pengusaha. Selalunya, isi semua elok dan berkualiti, tetapi apabila kulit tidak berapa elok, mereka (FAMA) terus tolak.
“Bayangkan sepanjang setahun kami bertungkus-lumus, namun mengalami kerugian. Setakat ini, saya hanya mampu memperolehi pendapatan kira-kira RM2,000 sahaja,” katanya. 

Utusan

Post a Comment

0 Comments