Mereka yang tidak dapat menyertai sesi itu diminta mengajukan pandangan dan kritikan melalui laman PTPTN, katanya hari ini.
“Mahu bantah, sokong, marah, puji, kutuk, tanya, atau apa jua, semuanya amat dialu-alukan dan boleh kita lakukan dengan teratur,” katanya kepada FMT.
Semalam, Wan Saiful menyertai sesi townhall di Universiti Sains Malaysia, Gelugor, Pulau Pinang. Sesi seterusnya akan diadakan di :
- Universiti Malaysia Terengganu, Kuala Terengganu pada 27 Mei,
- Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu pada 29 Mei, dan
- Universiti Malaysia Sarawak, Kota Samarahan pada 31 Mei.
Pada 20 Mei lalu, beliau berkata sesi-sesi itu bertujuan memberi penerangan berkenaan sistem pinjaman dan kaedah bayaran balik PTPTN, serta mengumpul sebanyak mungkin maklumat daripada hadirin. Sebelum ini, cadangan memperkenalkan semula larangan keluar negara terhadap peminjam ingkar mengundang kemarahan orang ramai.
Wan Saiful mengucapkan terima kasih kepada peserta sesi townhall semalam.
“Walaupun banyak komen negatif yang diterima di peringkat awal, kini kita mula memasuki fasa perbincangan yang lebih rasional dan berpandukan data,” katanya.
Wan Saiful yakin PTPTN boleh usahakan kaedah yang lebih baik dalam merangka dasar pinjaman dan pembayaran balik.
“Nampaknya kini suara-suara rasional di kalangan rakyat, baik yang menerima mahupun yang menolak, telah mula berbincang dengan baik dan sihat mengenai satu topik yang amat penting,” katanya.
Selepas sesi di Kota Samarahan, sesi seterusnya akan bersambung pada 13 Jun selepas sambutan Aidilfitri.
FMT
0 Comments