Bekas presiden Umno Najib Razak menyeru ahli partinya berani bangkit melawan kerajaan sekarang dan tidak meninggalkan beliau berjuang berseorangan.
Beliau bagaimanapun berkata tidak meminta ahli Umno membuat demontrasi jalanan bagi menyatakan bantahan terhadap kezaliman kerajaan Pakatan Harapan.
“Kita mesti lawan kezaliman, ini kerajaan zalim. Jangan takut kerana kita di pihak yang benar.
“Jangan biarkan saya berjuang keseorangan, lawanlah. Saya tidak minta berguling di tengah jalan. Di media sosial pun sudah cukup,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Gombak.
Najib yang juga ahli Pekan berkata sejak Barisan Nasional (BN) tewas dalam pilihan raya umum Ke-14 (PRU14), beliau tidak lagi mempunyai “cybertrooper” untuk mempertahankan dasar kerajaan yang dibuatnya sebelum ini.
“Saya tidak ada cybertrooper sekarang. Cuma saya ada rakyat yang mempertahankan apa yang saya lakukan.
“Kalau rakyat bersama kita, apa yang kita harapkan untuk Gombak, saya nampak cerah masa depan kita. Apatah lagi sudah ada rakan-rakan ‘baju hijau’ bersama kita,” katanya.
Najib juga menyerahkan kepada ahli Umno untuk menentukan pemimpin yang diingini mereka.
Katanya, soal masih dominan atau tidak dalam Umno tidak timbul.
“Kita serah pada ahli-ahli buat keputusan majoriti yang mereka mahukan. Umno merupakan parti yang matang,” katanya.
FMT
0 Comments