Malaysia "Teruja, Terganggu & Terasak"

Lim Kit Siang hari ini melabelkan video seks sejenis membabitkan seorang menteri kanan sebagai “cabaran terbesar” kepada Pakatan Harapan (PH) sejak pilihan raya umum 9 Mei dan menggesa pemimpinnya bersatu di tengah-tengah kontroversi itu.

Veteran DAP itu berkata, sejak 4 hari lepas, Malaysia “teruja, terganggu dan terasak” berikutan pendedahan menggemparkan Haziq Aziz yang menyaksikan beliau mengaku merupakan salah seorang individu dalam klip video viral yang memperlihatkan 2 lelaki mengadakan hubungan seks sejenis, dan seorang daripada mereka mirip seorang menteri kanan.

Haziq menamakan Mohamed Azmin Ali sebagai lelaki pasangannya dalam video berkenaan. Dakwaan yang dinafi keras oleh menteri hal ehwal ekonomi itu yang berkata, ia bertujuan membunuh kerjaya politik beliau.

Timbalan presiden PKR itu juga mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Tidak dinafikan lagi bahawa video seks Haziq merupakan cabaran terbesar terhadap PH sejak pilihan raya umum ke-14 pada Mei tahun lepas. Pemimpin PH harus bersatu dan melangkah maju serta tidak terseret dari landasan agenda Malaysia Baru,” kata ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dalam satu kenyataan.

“Apakah rakyat mahu menyelamatkan Malaysia daripada trajektori sebuah negara kleptokrasi, sewenang-wenang dan gagal atau membenarkan video seks Haziq memusnahkan misi unik “Selamatkan Malaysia” setahun kemudian?”, soal beliau.

Beliau seterusnya berharap persidangan Dewan Rakyat yang akan berlangsung bulan depan tidak tertumpu pada video kontroversi itu.

Katanya, ahli Parlimen kerajaan seharusnya menjadikan persidangan akan datang “satu persidangan Parlimen paling bersejarah kerajaan PH dengan menunaikan janji sebuah Malaysia Baru.”

“Saya berharap persidangan akan datang tidak dikenali sebagai sesi video seks Haziq, sebaliknya dikenali sebagai Parlimen IPCMC,” katanya, merujuk kepada penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis.

Lim berkata, rakyat Malaysia perlu memberikan masa kepada Ketua Polis Negara (KPN), Abdul Hamid Bador untuk menentukan sama ada video seks itu tulen atau sebaliknya.

Beliau juga menggesa khalayak supaya menaruh keyakinan pada pasukan polis di bawah kepimpinan KPN baru untuk menjalankan tugas mereka secara bebas, adil dan amanah bagi menyiasat video berkenaan dan dalang di belakangnya.

Haziq, setiausaha sulit kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin, disiasat atas beberapa kesalahan, termasuk hubungan seks di luar aturan tabii dan penyebaran bahan lucah.

FMT

Post a Comment

0 Comments