Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB telah diarahkan oleh Najib Razak supaya meninggalkan negara untuk mengelakkan prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di Parlimen pada 2015, Mahkamah di Kuala Lumpur diberitahu hari ini.
Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, yang mengambil alih sebagai Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB pada 2009, diarahkan berpindah ke Pemandu, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan, pada 15 Mac 2013, kata Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB ketika itu, Arul Kanda Kandasamy memberitahunya bahawa Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengarahkannya melakukan perjalanan ke luar negara untuk mengelakkan dipanggil ke mesyuarat PAC yang pertama.
Saksi kesembilan pendakwaan itu berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan dari timbalan pendakwa raya kanan Gopal Sri Ram pada hari ke-16 perbicaraan Najib berhubung dana 1MDB.
Sri Ram: Adakah anda melakukan perjalanan ke luar negara?
Shahrol Azral: Saya menaiki penerbangan ke Singapura selama satu hari.
Sri Ram: Jadi, anda terbang ke Singapura untuk mengelakkan mesyuarat PAC?
Shahrol Azral: Itu yang diberitahu oleh (Arul Kanda) kepada saya.
Untuk menghadapi prosiding PAC yang berikutnya, saksi itu berkata dia dilatih oleh ahli perniagaan yang menjadi buruan Low Taek Jho atau Jho Low yang juga mengatur agar dia bertemu dengan anggota Barisan Nasional (BN) dalam PAC sebelum dia disoal oleh PAC.
Saksi itu berkata sebelum prosiding PAC pada 2015, satu mesyuarat telah diadakan di rumah Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan di Sri Hartamas, yang pada masa itu bertanggungjawab terhadap penjenamaan imej Najib.
Beliau berkata antara ahli BN dalam PAC yang beliau bertemu ialah Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
"Saya mencatatkan perkara-perkara diberitahu oleh Jho Low mengenai maklumat yang akan dibincangkan semasa mesyuarat PAC. Saya juga telah mengatur supaya saya bertemu dengan seorang atau dua orang anggota BN dalam PAC sebelum mesyuarat sebenar.
"Saya bertemu Rahman Dahlan, yang merupakan ahli jawatankuasa pada masa itu dan dalam perbualan, kami menyentuh mengenai soalan yang akan ditanya oleh PAC," katanya.
Sri Ram kemudian bertanya sama ada soalan yang dibincangkan dengan Abd Rahman sebenarnya adalah yang ditanya ketika dia akhirnya mjemberi keterangan kepada PAC, yang saksi itu menjawab: "Sekitar, ya".
Sri Ram: Sebenarnya apa tujuan mesyuarat ini?
Shahrol Azral: Mesyuarat, pra prosiding PAC adalah untuk saya membuat persediaan untuk soalan dan pasca prosiding, adalah untuk membincangkan apa yang terkandung dalam laporan itu.
Beliau berkata, semasa mesyuarat di rumah Ahmad Farid, saksi itu diberitahu Najib diserang dari penjuru politik kerana skandal 1MDB dan beliau diarahkan untuk tidak mengheboh-hebohkan mengenai sebarang peranan Najib dalam 1MDB.
Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah wang yang sama.
Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala Lumpur antara 24 Feb, 2011 dan 19 Dis, 2014 sementara bagi pertuduhann wang haram antara 22 Mac, 2013 dan 30 Ogos, 2013, di tempat yang sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung pada Isnin.
MK
0 Comments