Kalaulah! Barisan Nasional masih berkuasa dan Mohd Najib Abdul Razak masih bermaharajalela, Utusan Malaysia, kita semua percaya, akan kekal mendongeng dan memomokkan minoriti. Pihak editorial, kita semua percaya, akan mengubah naratif yang sama seperti sedekad berlalu.
Kita andaikan begitu.
Pengarang akan menulis tanpa mempertikaikan. Mereka akan mendengar apa sahaja titah atasan. Pembaca pruf akan melepaskan cerita tersebut untuk diterbitkan, kerana ya, mengapa harus menyaring penipuan. Pencetak lantas menjadi perantara untuk ia disebarkan. Wang akan masuk, ini adalah utusan pelabur. Ia bukan utusan rakyat.
Dan paling malang, akan ada segelintir anggota masyarakat yang akan ditimpa bencana dan nahas kerana dongengan keji tersebut.
Siapakah mereka? Nanti saya perikan.
Tentu, untuk masyarakat terbanyak, apa sahaja yang didongengkan akan disahut sebagai kebenaran. Kerana Utusan adalah lidah kebenaran. Utusan adalah bahagian daripada sejarah nasionalisme negara ini. Apa sahaja yang di wahyu dan disabda Utusan adalah kebenaran, mengatasi kitab-kitab suci.
Jika kita masih ingat, hal sedemikian pernah terjadi, kepercayaan bagaikan rukun kepada Utusan. Itu semua pernah terjadi sebelum kita semua boleh menciap di Twitter menerusi telefon genggam di tangan.
Siapakah mereka yang dilanyak Utusan?
Ambil sahaja sebuah berita muka hadapan yang ditulis oleh Angelina Sinyang pada 17 Disember 2010. Sambil memetik Muhammed Khusrin Munawi, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor ketika itu, Angelina menukilkan “ajaran Syiah jika dibiarkan berkembang boleh mengancam keselamatan negara kerana pengikut yang fanatik menganggap umat Islam mazhab lain sebagai kafir”.
Malah ditambah dengan kenyataan Khusrin, “bagi mereka, darah pengikut fahaman lain adalah halal dan ia bermakna penganut Ahli Sunnah Wal Jamaah boleh dibunuh”.
Untuk semua yang masuk sekolah pemikiran dan falsafah serta membaca, kita semua tahu betapa bodohnya kenyataan dan dakwaan di atas. Tetapi orang awam tidak masuk sekolah epistemologi.
Sudah hampir sedekad berlalu, berita muka hadapan yang dikarang Angelina Sinyang itu adalah dongengan yang sama digunakan oleh semua untuk membelantan komuniti Syiah saban tahun sehingga mendorong kepada kebencian terhadap minoriti ini, dan sedikit sebanyak merupakan sebahagian dari faktor penyebab aktivis komuniti ini, Amri Che Mat diculik.
Kehilangan Amri, seperti diputuskan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) adalah perbuatan pihak berkuasa sendiri.
Juga setelah satu dekad, kita mendapati masyarakat Syiah semakin dibuli. Tahun ini, khabarnya ada antara mereka yang digari.
Inilah bentuk “sumbangan” Angelina Sinyang dan Utusan Malaysia untuk sejumlah anggota masyarakat yang tidak dapat membela diri langsung. Tiada porsi berita yang setara untuk komuniti ini bagi menjawab dakwaan yang dibuat terhadap mereka.
Syiah bukan satu-satunya jalur yang difitnah dan terancam oleh kegelojohan Utusan. Kumpulan sufi dan tarekat turut tidak terkecuali. Pada 23 Mei 2015, Utusan menyiarkan pula berita muka hadapan dengan tajuk “Ancaman Tarekat Baharu”.
Laporan khas itu meletakkan sufisme yang merupakan tenaga utama Islam di rantau ini di bawah satu prasangka yang meluas. Akhbar ini memilih untuk mewawancara dan memetik pandangan ulama dan tokoh yang mungkin tebal kesalafiannya agar stigmatisasi itu menikam tepat ke jantung orang yang jahil.
Kemudian ambil pula berita muka hadapan Utusan Malaysia bertarikh 7 Mei 2011 yang membawa tajuk “Kristian Agama Rasmi?”.
Akhbar tersebut mendakwa pemimpin parti DAP bekerjasama dengan paderi di seluruh negara, langsung berikrar untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi persekutuan.
Berita tersebut, yang bertujuan untuk menyalakan kesangsian majoriti umat Islam berbangsa Melayu terhadap minoriti agama Kristian boleh sahaja menjadi nyalaan api bahaya.
Syukur Malaysia masih waras tatkala itu dan tidak termakan umpan gila yang sungguh jahat ini. Suhu antar dan inter agama sangat mencanak tatkala itu. Utusan tidak peduli. Kita tidak ingat jika Utusan pernah peduli.
Barang diingat, sekali satu kepalsuan dihebah, terdapat sejuta kebencian tercambah. Prasangka tersebar dan kaum minoriti Kristian tidak diberi peluang setara untuk menjawab dakwaan nista tersebut.
Siapakah yang mengizinkan berita sedemikian dijaja? Pihak editorial, pihak pengarang, pihak pencetak, pihak pemodal, pihak pengedar dan akhirnya racun tersebut jatuh kepada pembeli dan pembaca Utusan yang ramai di kawasan pedalaman dan luar bandar.
Kita mungkin tidak dapat menghujahkan bahawa kehilangan Pastor Raymond Koh, yang juga diculik dan dihilang paksa seperti Amri Che Mat adalah bernatijahkan laporan Utusan Malaysia tersebut. Kita percaya ia telah menyumbang sebesar zarah pemomokan terhadap segelintir ahli masyarakat.
Kita tidak perlu pun membincangkan bahawa Nabi Muhammad telah mendapat perlindungan kaum Nasrani di Ethiopia, atau rahib Kristian yang menyedari kerasulan baginda di Syam atau Syria.
Itu terbenam dalam kitab. Utusan mengganti kitab kuning kita. Kita tidak perlu berhujah sejauh itu. Memadai dengan kita memetikkan kepalsuan dan ketidakbenaran konon “Kristian bakal menjadi agama rasmi”, agar ia dapat membantu politik kebencian dan perkauman seorang dua pemimpin yang serakah dan bernafsu besar.
Juga laporan berita muka hadapan 2 Ogos 2018 yang sisinya sangat manipulatif berjudul “Catat Peratusan Tertinggi Dijangkiti HIV: LGBT Paling Ramai”.
Utusan boleh sahaja membuat argumen bahawa pihak editorial dan pengarang hanya “melaporkan angka”, akan tetapi sisi yang dibesarkan itu membawa kepada mesej pemomokan yang mungkin sahaja meletakkan minoriti LGBT di bawah suluhan cahaya lampu utama.
Berita itu niatnya di hujung adalah, mungkin, ingin menghodohkan kaum Liberal yang berpegang kepada hak-hak asasi manusia dan pilihan individu.
Laporan-laporan di atas boleh memberi tenaga dan bateri bercaj untuk kaum ekstremis dan pelampau. Boleh, dan mungkin menjadi penyubur minda jumud mereka.
Lebih dahsyat tidak ada pertanggungjawaban agar Utusan membetulkan laporan yang berat sebelah di atas, dengan tiadanya keadilan untuk pihak tertuduh.
Ia adalah amalan kebebasan media terburuk, terhodoh dan terbangsat. Ia terjadi bertalu-talu. Ia terjadi bertubi-tubi. Sukar untuk kita menghujahkan yang para karyawan Utusan melakukannya secara tidak sedar.
Ambil pula fitnah yang dilakukan terhadap gerakan demokrasi BERSIH. Masih ingat bagaimana Perhimpunan BERSIH 2.0 diburuk-burukkan sebagai “diresapi gerakan komunis”?
Laporan 28 Jun 2011 tersebut menyebutkan betapa “ancaman terhadap keselamatan negara melalui gerakan komunis yang kini meresapi demonstrasi haram, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) berada pada tahap membimbangkan”.
Kita semua tahu betapa mengarutnya laporan itu, dan hari ini filem “M for Malaysia” yang menyorot positif gerakan tersebut menghantar dokumentari ini untuk penyertaan Oscar.
Bayangkan Awang Selamat masih selamat menabur fitnah selepas pilihan raya umum ke-14, serta Utusan Malaysia masih dibaca dan ditatap hari ini dan esok.
Ini semua berbentuk andaian tentunya, tetapi dengan mengambil kira rekod Utusan yang melakukan pemomokan terhadap kaum minoriti dan berita semberono yang tidak berjejak, bayangkan bagaimana negara ini dirosakkan selama satu dekad dan akan terus dirosakkan lagi selama satu kurun.
Utusan menyebabkan sektarianisme dengan mencipta-cipta perbalahan Sunni-Syiah. Mufti yang melakukan pemomokan memulai kolumnya di situ, masih terus menabur kebencian, manakala terdapat satu mangsa dari kalangan kaum Syiah ini yang diculik hilang.
Masyarakat tidak peduli pun nasib Amri. Mereka percaya mufti dan bohong Utusan. Yang masyarakat imani adalah kepalsuan yang dicanang Utusan dari mula.
Manakala kebencian kaum (masih ingat dengan judul berita ‘Apa Lagi Cina Mahu?’ atau ‘Bangkitlah Melayu’ semakin beranak-pinak. Atau kesangsian terhadap agama selain Islam terus membuak. Kita masih ingat siri gangguan terhadap gereja dalam tahun 2009-2010.
Mujur negara ini tidak jatuh dalam kancah bedebah.
Utusan antara penyebab kepada masalah yang kita hadapi hari ini. Jika tidak pun menjadi penyebab paling utama, Utusan adalah kudis awalnya.
Yang ikut memberikan sumbangan kepada kudis bernanah itu ialah para wartawan, pelapor dan pengarang yang bertugas di akhbar itu. Yang bejat moralnya. Yang makan minum pendapatannya dengan melakukan fitnah dan kerasukan yang dahsyat.
Satu dekad lamanya tidak berhenti. Hari ini Utusan berhenti. Nyawa tidak berdegup lagi.
Kita tidak dapat membayangkan jika Utusan tidak menemui mautnya hari ini dan Awang Selamat dengan selamat dan leganya terus menerus membakar dan menebar stigmatisasi.
Kita tidak dapat membayangkan apakah lagi kerosakan yang bakal terjadi. Dan untuk kerosakan yang lalu, kita masih jenuh dan termengah tidak dapat membaiki. Kita mewarisi onar yang dilakukan. Kita masih bertungkus-lumus cuba merawat, tetapi keadaan makin memburuk.
Utusan telah menjangkitkan perangainya kepada yang lain. Ia sudah menjadi kuman dan mewabak. Utusan tiada untuk membantukan kita. Kerana akhirnya, Utusan sang lidah sekian banyak fitnah itu telah pun menemui karmanya.
Satu-satunya legasi Utusan ialah, melahirkan seekor Awang Selamat kepada lebih banyak kawanan Awang yang nyata meletakkan negara ini tidak selamat. Kita bagai orang kelelahan cuba memadam api yang dinyalakan seribu bahkan sejuta Awang bebal ini.
Demikian Utusan pergi tiada talkin dan kebumi. Ia mati terkial dengan senyum kambingnya.
FMT
0 Comments