Kebimbangan banyak pihak selama ini bahawa peralihan kuasa tidak akan berlaku dalam tempoh dua tahun sebagaimana yang pernah dijanjikan sendiri oleh Tun Mahathir Mohamad, nampaknya hampir pasti menjadi kenyataan.

Sebaliknya, kebimbangan banyak pihak bahawa Perdana Menteri tertua itu akan terus berdolak dalik dan mencipta pelbagai alasan untuk melewat-lewatkan peralihan kuasa, sudah pun sekarang ini menjadi kenyataan.

Dalam kenyataan terbaru melalui interbiunya dengan Reuters, Perdana Menteri berkata, peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim untuk mengambil alih tempatnya hanya akan berlaku selepas November 2020.

Tun Mahathir memberi alasan bahawa beliau perlu menyelesaikan urusan Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik atau APEC di mana Malayia menjadi tuan rumah pada November 2020 terlebih dahulu.

Saya berjanji menyerahkan kuasa dan saya akan kotakannya, tetapi saya rasa perubahan segera sebelum Sidang APEC akan menimbulkan gangguan. Setakat yang saya tahu, saya akan berundur dan menyerahkan kuasa kepadanya. Jika rakyat tidak mahu dia, itu hal mereka, tetapi saya akan kotakan janji saya.
Tidak kira apa tuduhannya. Saya sudah berjanji, saya akan kotakan janji saya, demikian kata Tun Mahathir menegaskan tentang tempoh terbarunya melakukan peralihan kuasa, sekaligus mengesahkan dolak dalik pendiriannya.

Sesungguhnya, tindakan Tun Mahathir memanjangkan lagi tempohnya memegang jawatan Perdana Menteri dan memungkiri janji yang pernah dilafazkannya sendiri bahawa hanya mahu dua tahun memegang jawatan itu, adalah sesuatu yang sukar diterima.


Persidangan APEC - Anwar Penting Atau Tun M Penting

Ini kerana Sidang APEC pada November 2020 itu bukanlah penting sangat untuk Tun Mahathir terus berada di jawatan Perdana Menteri pada ketika itu memandangkan Malaysia sudah pun pernah menjadi tuan rumah pada 1998 dahulu.

Apa yang istimewanya lagi Sidang APEC itu kepadanya, walhal ia adalah kali kedua Malaysia menjadi tuan rumahnya?

Bukankah yang paling istimewa ialah menjadi tuan rumah buat kali pertama pada 1998 dahulu?

Dua kali menjadi tuan rumah Sidang APEC dan keinginan berada di kedua-duanya dengan jawatan Perdana Menteri tidak lain hanyalah untuk menunjuk-nunjuk kepada dunia dan memenuhi keegoan sendiri semata-mata.

Malah, kalau mahu dikira istimewa, Sidang APEC kali kedua itu lebih penting buat Anwar sebagai Perdana Menteri baru yang pertama kali menjadi tuan rumah kepada delegasi dunia.

Maka itu, kalaulah Tun Mahathir merasakan peralihan kuasa yang segera atau pada Mei 2020 akan menimbulkan gangguan kepada Sidang APEC itu, beliau sepatutnya menyegerakan lagi tarikh pengundurannya kepada Februari atau Mac 2020, bukan melewat-lewatkannya.

Begitu pun, meski Tun Mahathir menyebut hanya selepas November 2020 baru ada peralihan kuasa, hakikatnya tidak banyak pihak yakin dengan kata-katanya itu.

Rekod bellau berdalik-dalik, mungkir janji dan melakukan pusingan U selama ini terlalu banyak untuk kata-katanya yang terbaru ini boleh dijadikan sandaran yang kukuh.

Tidak mustahil selepas Sidang APEC nanti, ada alasan lain pula yang dicari atau sengaja dicipta untuk terus melewat-lewatkan lagi peralihan kuasa.

Selagi tidak ditetapkan tarikh yang khusus, bilakah sebenarnya Tun Mahathir benar-benar sedia mahu menunaikan janji peralihan kuasa itu?

Apakah beliau menunggu malaikat maut menjadi penentunya?

Shahbudin