Apa Itu Coronavirus - Virus Yang Mengancam Ekonomi Dunia



Baru-baru ini, dunia digemparkan dengan penularan satu wabak yang dikenali sebagai coronavirus, dikatakan berpunca dari Wuhan, China. Wabak berkenaan telah meragut nyawa 6 individu dan menjangkiti hampir 300 orang menjelang cuti Tahun Baru Lunar.

Menjelang pagi Rabu, coronavirus dikhabarkan telah tersebar sehingga ke luar Asia, iaitu di Washington, Amerika Syarikat. Di samping itu, terdapat 15 kakitangan perubatan yang telah dijangkiti wabak tersebut sekaligus menimbulkan kebimbangan lalu mendorong pihak berkuasa lapangan terbang di seluruh dunia untuk meningkatkan pemeriksaan pelancong yang datang dari China.

Bukan itu sahaja! Ianya juga boleh menjejaskan ekonomi seperti mana yang berlaku akibat daripada wabak SARS yang menyerang dunia sekitar tahun 2003.


Apakah itu Coronavirus?

Coronavirus merupakan sejenis virus yang menyebabkan radang paru-paru, dikatakan berasal dari pasaran makanan laut di bandar Wuhan, China. Wabak berkenaan dilaporkan menular pada akhir Disember 2019.

Tambahan daripada itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan bahawa ianya muncul daripada sumber haiwan. Namun, Suruhanjaya Kesihatan China mengeluarkan sebuah kenyataan bahawa sumber virus berkenaan masih belum diketahui dan laluan penyebarannya belum dikesan sepenuhnya.

Antara gejala wabak berkenaan ialah mengalami demam dan kesukaran untuk bernafas. Apa yang membimbangkan lagi ialah tiada vaksin untuk virus itu buat masa ini.


Dari mana asalnya Coronavirus?

Sehingga Selasa petang, pihak berkuasa telah mengesahkan lebih 300 kes yang kebanyakannya berlaku di wilayah Hubei dan ibu kota Wuhan, iaitu sebuah bandar yang terdiri daripada 11 juta orang penduduk. Selain itu, wabak tersebut turut merebak ke beberapa bandar lain iaitu 14 kes di wilayah selatan Guangdong, 5 kes di Beijing, 5 kes di wilayah timur Zheijang, 2 kes di Shanghai dan Tianjin.
Di samping itu, kes yang sama juga dilaporkan di Thailand, Korea Selatan dan Jepun. Terbaru, Taiwan mengesahkan kes pertama mereka pada malam Selasa yang melibatkan seorang wanita berusia 55 tahun yang beru pulang dari Wuhan.

Oleh yang demikian, WHO telah memberi amaran bahawa coronavirus berkemungkinan akan tersebar ke negara-negara lain. Jadi, mereka akan menubuhkan sebuah jawatankuasa kecemasan mengenai virus berkenaan pada hari ini untuk mempertimbangkan pengisytiharan kecemasan kesihatan antarabangsa.


Adakah wabak ini akan menjejaskan ekonomi?

Seorang pakar ekonomi menegaskan bahawa jika kebimbangan pengguna semakin meningkat, maka ianya akan memberikan impak yang besar terhadap ekonomi. Hal ini demikian kerana wabak berkenaan akan menjadi penghalang kepada individu untuk menjalankan aktiviti ekonomi.

Sebagai contoh, ketika penularan wabak SARS, para pelancong tidak lagi berkunjung ke kawasan wabak manakala rakyat cenderung untuk hanya bekerja dari rumah dan tidak mendedahkan diri kepada kawasan tumpuan ramai seperti pusat beli-belah dan restoran.
Rentetan daripada itu, pertumbuhan pelancong domestik telah jatuh sebanyak 45% dan pulangan daripada aktiviti pelancongan telah menjunam sebanyak 64% pada suku kedua tahun 2003.

Walau bagaimanapun, wabak baru ini dikatakan kurang serius berbanding SARS kerana tindakan kerajaan yang begitu memberangsangkan untuk menanganinya. Jadi, impaknya terhadap ekonomi tidaklah seperti wabak SARS. Kini, tinjauan yang dijalankan mendapati pertumbuhan penggunaan masih kekal pada trend 7%.

Sumber Asal ; Intraday

Post a Comment

0 Comments