Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming menegur Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy berhubung kenyataannya terhadap Ketua Pemuda Bersatu (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Ong berkata tindakan Ramasamy menggelarkan Menteri Belia dan Sukan itu sebagai 'baby boy' tidak menggambarkan beliau sebagai seorang pemimpin negeri dan juga ahli akademik.
"Memanggil seorang menteri dalam kerajaan Pakatan (Harapan) seorang 'budak mentah' sangat tidak sepadan dengan seseorang yang merupakan timbalan ketua menteri Pulau Pinang.
"Itu saya jangkakan akan (keluar) daripada seorang cybertrooper, bukan bekas ahli akademik dan pemimpin negeri," kata anggota parlimen DAP itu, malam ini.
Ramasamy dan Syed Saddiq bergeseran selepas menteri berkenaan mendakwa wakil rakyat DAP itu dan beberapa pemimpin PH mendesak perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan.
Selain mengeluarkan kenyataan media mengingatkan menteri berusia 27 tahun itu untuk "merapatkan jurang", Ramasamy, 70, juga menjadikan laman sosial Twitter untuk melepaskan kemarahannya terhadap Ketua Armada Bersatu itu.
"Saya tidak setia kepada sesiapa, Anwar atau Mahathir, saya tegas bahawa perjanjian penggantian mesti diangkat dan dihormati. 'Budak mentah' itu tidak faham,"katanya.
Menjawab kritikan itu, Syed Saddiq membalasnya di Twitter: "Budak mentah? Ok Boomer. "
Ungkapan "Ok Boomer" dalam bahasa Inggeris sering digunakan untuk mengejek sikap generasi baby boomer - satu istilah yang diberikan kepada generasi yang dilahirkan antara 1946 dan 1964.
Dalam perkembangan yang sama, veteran DAP Lim Kit Siang berkata isu peralihan kuasa perlu diserahkan kepada majlis presiden PH.
Bagaimanapun, beliau berkata tidak perlu mengadakan mesyuarat khas mengenai perkara itu.
"Marilah kita beralih daripada memberi penekanan dan obsesi setiap hari dengan peralihan kuasa dan memfokuskan segala usaha kita untuk menunaikan janji-janji kita pada pilihan raya umum 2018 serta tahun 2020 akan menjadi tahun penentuan untuk Pakatan Harapan," katanya.
Malaysiakini
0 Comments