“Saya terpaksa mendukungnya setiap hari untuk masuk ke kelas di tingkat dua,” demikian kata Siti Noraini Shaari yang merayu mana-mana pihak agar dapat menyumbang kerusi roda dan tongkat bagi memudahkan pergerakan anaknya itu.
Katanya pada waktu rehat kira-kira 9.30 pagi dia akan menunggang motosikal kira-kira tiga kilometer untuk menghantar makanan kepada anaknya itu yang tidak dapat turun bersendirian ke kantin.
Bantuan kerusi roda itu dapat meringankan beban membawa Nur Amni Zahra ke kantin sekolah mahupun ke tandas tanpa menyusahkan orang lain, katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Chengal Pulas di sini, semalam.
Siti Noraini, 34, berkata dia pernah menghantar anaknya ke kelas khas di SK Kamil 2 namun anaknya itu enggan belajar di situ kerana tidak mempunyai masalah pembelajaran malah mampu menulis dan membaca dengan baik seperti kanak-kanak normal yang lain.
Bapa Nur Amni Zahra, Khairul Azmi Halim, 34, berkata dia tidak mampu membeli kerusi roda dan tongkat kerana hanya bekerja sebagai tukang rumah dengan pendapatan kira-kira RM600 sebulan.
“Selepas ditolak sewa rumah RM100 sebulan pendapatan saya hanya cukup makan sahaja dan mempunyai seorang lagi anak, Nur Fariana, 12, yang sedang belajar di SK Gong Garu.
“Bagaimanapun saya bersyukur kerana Nur Amni Zahra mendapat bantuan sebanyak RM150 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.
Individu yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyumbang melalui Bank Islam menerusi nombor akaun 03090020758008 atas nama Khairul Azmi Halim.
MalaysiaGazette
0 Comments