Annuar Musa Sahkan Kabinet "Mahathir Baru" Tunggu PM Umum

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa memberi bayangan bahawa penguasaan Pakatan Harapan (PH) akan berakhir susulan perkembangan yang berlaku di Hotel Sheraton hari ini.

Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan hasil perbincangan pada pertemuan di hotel berkenaan yang dihadiri oleh pemimpin utama UMNO, Pas dan Bersatu serta Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Beliau berkata, ada kemungkinan pakatan baharu akan ditubuhkan namun pembentukan pakatan baharu yang sebelum ini dinamakan sebagai Pakatan Nasional itu perlu mengikut Perlembagaan.

"Akan ada mesyuarat lagi selepas ini bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Kesimpulannya tunggu PM umumkan pakatan baru itu," katanya ketika ditemui media sejurus keluar dari dewan mesyuarat di Hotel Sheraton malam ini.

Ketika ditanya adakah jumlah sokongan yang diterima cukup bagi menubuhkan kerajaan baru itu, beliau berkata, ia mencapai dua pertiga peratus sokongan daripada ahli Parlimen yang ada.

Beliau juga memaklumkan bahawa UMNO gembira dengan perkembangan yang berlaku.

SinarHarian

Post a Comment

0 Comments