Jauh Lagikah Anwar Bergelar Perdana Menteri ?


Jawatan PM pernah tercicir daripada tangannya meskipun hanya selangkah lagi daripada jawatan itu ketika beliau menjadi timbalan perdana menteri pada 1990-an. Beliau dipenjarakan atas tuduhan salahlaku seksual.

Anwar tercicir lagi jawatan PM pada 2013 ketika mengetuai Pakatan Rakyat. Pakatan pembangkang ketika itu hampir menewaskan BN. Waktu itu, beliau adalah ketua pembangkang.

Ketika Pakatan Harapan berjaya menewaskan Barisan Nasional pada 2018, jawatan PM tercicir lagi daripada tangan Anwar kerana beliau masih dalam penjara, sekali lagi kerana salahlaku seksual. Kali ini, beliau menerima pengampunan selepas PH menawan Putrajaya.

Cuma yang tidak sangka, situasi Anwar kembali ke zaman 1990-an apabila jawatan PM kembali ke tangan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kini, Anwar berpeluang lagi menjadi PM. Beliau hanya perlu menunggu persaraan Mahathir. Manifesto PH cukup manis baginya kerana ia menyatakan gilirannya menjadi PM adalah selepas Mahathir.

Bezanya kali ini, beliau bukan sebahagian daripada kabinet Mahathir mahupun timbalan bekas bosnya. Beliau hanyalah presiden PKR.

Apakah Anwar akan tercicir lagi jawatan PM kali ini? Inilah persoalan yang sedang mengugat emosi dan suhu politik negara melebihi Covid-19.

Jadi apakah yang berada antara Anwar dan jawatan PM yang diimpikannya selama ini?

Mahathir berulang kali menyatakan beliau akan menyerahkan kuasa seperti dijanjikan. Dan beliau berhasrat untuk menyerahkannya selepas sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) pada November 2020. Apakah tarikhnya? Tiada tertera di mana-mana tulisan ataupun manifesto. Jika ada di manifesto, inilah titiknya.

Jadi, Mahathir bukanlah penghalang antara Anwar dan jawatan PMnya.

Cuma, untuk ini berlaku dengan lancar, ada syaratnya. Dan syaratnya mudah, iaitu PH hanya perlu bersatu-padu menyokong Anwar sebagaimana mereka menyokong Mahathir.

Selesai cerita. Apa yang cuba dilakukan oleh pembangkang hanyalah membazir masa.

Tapi, syarat mudah itu jugalah yang menjadi masalah terbesar bagi Anwar.

PH terdiri daripada 4 parti komponen. Antara 4 parti komponen ini, secara persepsi umumnya DAP, Amanah dan PPBM tidak kelihatan mengalami perpecahan.

Secara persepsi umumnya juga, hanya PKR yang dipimpin Anwar kelihatan berpecah-belah ekoran pergelutan antara Anwar dan Timbalan Presidennya Azmin Ali dan Naib Presiden Zuraidah Kamaruddin, kedua-duanya menteri di kabinet Mahathir.

Sedihnya, persepsi umum terhadap perpecahan PKR inilah yang menjadi batu penghalang sebenar antara Anwar dan impiannya menjadi PM. Inilah juga yang menjadi sumber spekulasi dan pintu terbuka kepada pelbagai gerakan politik di belakang takbir.

Jika parti yang dipimpin Anwar ini betul-betul utuh dan tidak berpecah, percayalah apa-apa taktik pembangkang mahupun undi percaya atau tidak percaya tidak mampu menghalang Anwar daripada menjadi PM.

Meskipun PKR dipersepsikan berpecah, Anwar juga sering menyebut beliau mempunyai sokongan yang mencukupi iaitu sekurang-kurangnya 112 sokongan ahli parlimen yang mendokong beliau menjadi PM.

Kumpulan pro-Anwar perlu yakin kenyataan Anwar itu benar. Ini bermakna nasi sudah menjadi bubur ataupun “game over” untuk sesiapa saja yang ingin menghalang Anwar daripada menjadi PM.

Oleh itu, kumpulan penyokongnya untuk berhenti membuat forum sana sini menghentam dan memberi kata dua kepada Mahathir, merancang pelan B atau pelan C atau mengutuk cadangan yang mengikut saluran demokrasi seperti undi percaya kepada PM di Parlimen.

Anwar boleh menasihatkan kumpulan penyokongnya untuk berhenti. Ini kerana apa yang dilakukan kumpulan penyokong beliau, secara persepsinya, merosakkan nama baik beliau sendiri dan juga memberikan persepsi beliau terlalu meminta-minta untuk jawatan PM tersebut.

Oleh itu, yang menjadi penghalang antara Anwar dan impiannya menjadi PM sebenarnya hanyalah Anwar sendiri.

Sejauh manakah Anwar dapat mengukuhkan PKR untuk bersatu setia terhadapnya dan membuktikan kebenaran kenyataannya ada lebih 112 ahli parlimen yang menyokongnya menjadi PM bagi menggantikan Mahathir adalah jarak antara Anwar dan impiannya menjadi PM.

Pendek kata, hanya Anwar yang boleh menyebabkan jawatan PM sekali lagi tercicir daripada tangannya sendiri.

FMT

Post a Comment

0 Comments