Kerajaan Fail Bantahan Terhadap Bakal PM Ke-8 ?

Kerajaan memfailkan bantahan awal terhadap saman pemula Anwar Ibrahim mencabar kesahan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) didengar di Mahkamah Tinggi sebagai akademik.

Peguam J Leela bagaimanapun berkata, Anwar membantah perkara itu kerana majoriti panel hakim Mahkamah Persekutuan hanya enggan menjawab soalan yang dibangkitkan ketika minoriti memberikan pendapat undang-undang mereka.

“Oleh itu, hakim Mahkamah Tinggi menetapkan 4 Jun untuk pihak itu membuat penghujahan sama ada beliau boleh dengar cabaran undang-undang Anwar,” kata Leela kepada FMT selepas pengurusan kes hari ini.

Peguam Kanan Persekutuan, Alice Loke dan Suzana Atan mewakili kerajaan.

Minggu lalu, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 5-2 enggan menjawab soalan perundangan dan Perlembagaan dikemukakan Anwar berhubung kesahan Akta MKN kerana ia “abstrak, akademik dan hipotesis”.

“Pemohon (Anwar) tidak menunjukkan MKN mengganggu kehidupannya,” kata Nallini Pathmanathan yang menyampaikan keputusan majoriti itu.

Beliau menyerahkan perkara itu kepada Mahkamah Tinggi untuk pertimbangan.

Hakim lain dalam keputusan majoriti itu ialah Hakim Besar Malaya, Azahar Mohamed, dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Abang Iskandar Abang Hashim, Mohd Zawawi Salleh serta Idrus Harun.

Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak, David Wong Dak Wah pula dalam kumpulan minoriti hakim itu.

Kedua-duanya berkata, MKN tidak berperlembagaan kerana ia tidak digubal mengikut keperluan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.

Anwar memohon mahkamah mengisytiharkan Seksyen 12 Akta Perlembagaan (Pindaan) 1983, Seksyen 2 Akta Perlembagaan (Pindaan) 1984 dan Seksyen 8 Perlembagaan (Pindaan) 1994 terbatal serta tidak sah atas alasan ia melanggar struktur asas Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut memohon pengisytiharan Akta MKN tidak berperlembagaan, tidak sah dan terbatal atas alasan ia menjadi undang-undang selepas pindaan tidak mengikut Perlembagaan, tidak digubal mengikut Perkara 149 dan melanggar kebebasan bergerak yang dijamin di bawah Perkara 9(2).

FMT

Post a Comment

0 Comments