Pihak berkuasa kesihatan tidak maklum tentang himpunan tabligh melibatkan kira-kira 14,000 orang di Masjid Sri Petaling di Kuala Lumpur sehinggalah Brunei mengesahkan kes pertama Covid-19 melibatkan individu yang hadir acara itu.
Pada sidang media hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya mula mengesan dan menyaring peserta himpunan hanya selepas kes berkenaan disahkan.
“Setakat ini, kita dimaklumkan terdapat 14,500 peserta tempatan dan 1,500 dari 25 negara.
Kita telah mengesan lebih 11,000 dan mengambil sampel daripada 6,700 orang. Daripada jumlah itu, 820 positif, bermakna 1 daripada 10 sah positif,” katanya.
Beliau berkata, 62% daripada semua kes Covid-19 di negara ini berkait dengan kluster himpunan tabligh, mewakili 820 daripada 1,306 kes setakat ini.
“Sebelum kita dimaklumkan pada 9 Mac yang seorang ahli jemaah tabligh yang hadir di masjid tersebut daripada rakan sejawat saya di Brunei, kita tak tahu pun ada perhimpunan tabligh melibatkan 16,000 orang.
“Apabila seorang positif, kita terus laksanakan saringan dan pengesanan anggota jemaah (tabligh) itu,” katanya.
“Peserta tabligh telah balik ke negeri dan negara masing-masing. Kami tahu mereka akan berkumpul untuk solat di kampung-kampung dan mungkin dalam proses itu menjangkiti orang lain sama ada dengan bersalam atau jika individu dijangkiti Covid-19 bersin.”
Noor Hisham berkata, himpunan lain seperti Thaipusam tidak menunjukkan kes jangkitan Covid-19.
Noor Hisham berkata, kementerian kini memasuki peringkat mitigasi, yang menawarkan ruang kecil untuk menghentikan jangkitan virus melalui perintah kawalan pergerakan (PK), sekali gus mengehadkan kemungkinan penyebarannya.
Katanya kementerian juga berjaya memperoleh 450 ventilator tambahan untuk kegunaan pesakit yang memerlukanj bantuan pernafasan.
Katanya, ia juga memindahkan jururawat dan pegawai perubatan dari negeri lain ke kawasan dengan jumlah pesakit yang tinggi, selain mengambil semula pesara kesihatan, termasuk jururawat dan pakar bagi membantu tugas dalam tempoh ini.
Selain itu, ia juga bekerjasama dengan hospital swasta dan NGO yang menawarkan kepakaran mereka.
Noor Hisham berkata, terdapat 23 maklmat saringan Covid-19 di seluruh negara, termasuk kemudahan swasta.
“Setiap hari, kami boleh menguji 3,500 sampel. Minggu depan, kami menjangka dapat meningkatkannya kepada 7,000 setiap hari, dan pada awal April sehingga 16,000 ujian sehari
0 Comments