Gara-gara tidak dapat memperbaharui pas lawatan sosial anak lelakinya, seorang ibu mengandung nekad berjalan kaki merentas Tambak Johor dari Singapura, bersama seorang anak lelakinya yang berusia dua tahun.
Sambil mengheret bagasinya, Jessie New memulakan perjalanan seawal jam 8 pagi pada 27 April lalu bagi merentasi tambak sepankang 1 kilometer itu.
Enam jam kemudian, setelah beratur panjang dan melalui proses pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Johor Bahru, mereka kemudiannya ditempatkan di sebuah hotel.
“Anak sulung saya dengar kata, dia berjalan bersama-sama saya merentas tambak,” katanya dalam satu hantaran Facebook yang menarik banyak reaksi pengguna maya.
“Saya tak dapat dukung dia sebab saya pun mengandung. Dia budak lagi dan tak dapat berjalan laju. Jadi ambil masa 40 minit untuk kami rentas tambak,” katanya seperti dipetik Sin Chew Daily.
Dalam hantaran itu, New turut memuat naik sekeping gambar bilik hotel yang akan didiaminya bagi menjalani tempoh kuarantin 14 hari.
Meskipun bilik itu kecil, New menyifatkannya sebagai bersih dan dia gembira dengan kemudahan yang diberikan.
Menurut New, dia nekad mengambil untuk berjalan pulang ke Malaysia kerana tidak dapat memperbaharui pas lawatan sosial anaknya, sedangkan bas paling awal dari Singapura ke Malaysia hanya akan tiba pada 2 Mei.
Katanya, dia akan tinggal di pusat penempatan (confinement centre) sementara menunggu kelahiran bayi dalam kandungannya.
Ceritanya juga, dia perlu pulang sendirian bersama anaknya memandangkan suaminya harus terus bekerja di Singapura.
Pada 23 April, katanya, dia ada membuat permohonan permit masuk dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura dan menerima jawapan dua hari kemudian.
“Adalah diketahui bahawa Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura hanya membuka 400 tempat buat warga yang mahu pulang ke tanah air. Saya cadangkan sesiapa yang mahu pulang tu, buatlah permohonan tiga hari lebih awal (dari tarikh jangkaan bertolak balik),” katanya lagi
0 Comments