Kira-kira 15,000 pelarian Rohingya yang tinggal di sekitar kawasan Pasar Borong Selayang yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bagi mengelak penularan Covid-19, menerima bungkusan makanan daripada kerajaan, hanya beberapa hari selepas mereka dilaporkan berdepan kelaparan kerana kekurangan bantuan makanan.
Sumber yang terlibat dalam pengedaran makanan itu berkata makanan berkenaan diserahkan kepada etnik tersebut semalam.
“Makanan itu diedarkan kepada wakil dari setiap isi rumah,” kata sumber tersebut.
“Kami memberi mereka beras, minyak dan tepung.”
Menurut sumber, bantuan tersebut diperuntukkan berdasarkan bilangan setiap isi rumah, dengan setiap sebungkus barangan diasingkan kepada setiap kumpulan 5 orang.
Ia berkata beberapa unit mempunyai 10 hingga 15 orang di bawah satu bumbung.
Lima kedai juga dibenarkan dibuka dari pukul 10 pagi hingga 6 petang, tambahnya.
“Sekarang mereka ada kedai lain di mana mereka dapat membeli makanan.”
Pada Rabu, FMT melaporkan pelarian terbabit berdepan kelaparan kerana bantuan makanan dari kerajaan hanya akan disediakan untuk 2,600 rakyat Malaysia di kawasan itu.
Biasanya, kedutaan bertanggungjawab memberi makanan kepada warganya. Namun, Rohingya tidak diakui sebagai warganegara oleh kerajaan Myanmar.
Kawasan di sekitar pasar borong diletakkan di bawah PKPD awal minggu ini, lokasi ke-3 di pusat bandar yang dikawal ketat selepas Menara City One di Jalan Dang Wangi, serta Mansion Selangor dan Malayan Mansion di Jalan Masjid India.
PKPD dijangka berterusan sehingga 3 Mei.
0 Comments