Bersatu Berdua Bermasalah - Dalam PH Bermasalah, Dalam PN Bermasalah


Bersatu adalah parti yang sudah terbelah kepada dua – satu kumpulan bersama Tun Mahathir Mohamad dan satu lagi bersama Muhyiddin Yassin.

Daripada 13 kerusi Parlimen yang dimenangi Bersatu dalam PRU14 lalu dan kini hanya tinggal 12 setelah kalah dalam PRK Tanjung Piai, separuh daripadanya dengan Tun Mahathir dan separuh lagi menyokong Muhyiddin.

Mereka yang bersama Tun Mahathir ialah: 
  1. Dirinya sendiri, 
  2. Mukhriz Mahathir, 
  3. Dr. Maszlee Malik, 
  4. Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 
  5. Amiruddin Hamzah 
  6. Dr. Shahruddin Salleh (baru-baru ini meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri Kerjaraya)

Enam lagi Ahli Parlimen adalah bersama Muhyiddin yang kini merupakan Perdana Menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional atau PN.

Makna kata, Bersatu benar-benar sudah terbahagi dua dan lebih sesuai dipanggil Berdua berbanding Bersatu.

Lain-lain Ahli Parlimen dalam Bersatu yang ada bersama Muhyiddin adalah dalam kategori pelompat-pelompat katak daripada UMNO yang diketuai Hamzah Zainuddin yang menyertai parti itu setelah UMNO hilang kuasa pada PRU14 dan Geng Azmin Ali yang dipecat atau keluar daripada PKR.

Bersatu kumpulan Muhyiddin menubuhkan kerajaan PN bersama UMNO, BN, Pas, GPS, geng Azmin dan beberapa parti kecil yang lain.

Kumpulan Tun Mahathir yang dalam waktu yang sama sudah terpecat daripada Bersatu kerana bersama pembangkang dan masih berjuang mempertahankan hak mereka melalui mahkamah, meneruskan perjuangan bersama Pakatan Harapan atau PH dan kini amat berazam untuk menjatuhkan Muhyiddin.

Jika PN belum didaftarkan dan hubungan Bersatu pro Muhyiddin dalam gabungan itu seperti tidak ketahuan taraf atau statusnya, kedudukan Bersatu pro Tun Mahathir dalam PH adalah bukan sebagai anggotanya yang sah.

PH hanya dianggotai oleh PKR, DAP dan Amanah, manakala yang melibatkan Bersatu pro Tun Mahathir dan Warisan, ia dikenali sebagai PH Plus.

Dalam kedua-dua gabungan – baik PN atau PH – kedudukan Bersatu tidak banyak bezanya iaitu Bersatu pro Muhyiddin berada dalam gabungan PN yang tidak berdaftar, sementara Bersatu pro Tun Mahathir berada bersama PH yang berdaftar, namun bukan sebagai ahli yang sah.

Cumanya, dalam PN, mereka menjadi kerajaan dan Muhyiddin selaku Presiden Bersatu adalah Perdana Menteri, tetapi di dalam PH yang merupakan pembangkang, Tun Mahathir yang mengaku dirinya masih Pengerusi Bersatu bukanlah Ketua Pembangkang.

Ketua Pembangkang adalah Anwar yang kini merupakan Pengerusi PH.

Walau bagaimanapun, sama ada dalam PN atau PH, kedua-dua Bersatu yang sudah terbelah dua itu tetap mahu menjadi parti yang dominan atau diterima sebagai ketua.

Di dalam PN, oleh kerana Muhyiddin yang merupakan Presiden Bersatu adalah Perdana Menteri, walaupun beliau menganggap dirinya ketua dalam gabungan itu, tetapi UMNO nampaknya masih berdalih untuk menjadikan pendaftaran PN suatu realiti, jauh sekali untuk saling berbahagi kerusi.

Ertinya, selagi PN belum didaftarkan, kedudukan Muhyiddin sebagai Ketua atau Pengerusi PN masih lagi dianggap tidak sah, walaupun beliau adalah Perdana Menteri serta ketua dalam kerajaan yang ada UMNO didalamnya.

Bagi UMNO, berdasarkan kenyataan beberapa pemimpin utamanya, sokongan mereka kepada PN dan Muhyiddin adalah sehingga Parlimen dibubarkan untuk diadakan PRU15 saja, tetapi tidak dalam pilihanraya tersebut.

Sebaliknya, dalam PRU15 nanti, UMNO dan BN hanya mahu bekerjasama dengan Pas dalam Muafakat Nasional atau MN dan akan mengenepikan Bersatu.

Keadaan ini memberi gambaran bahawa UMNO mahu merebut kembali kerusi Perdana Menteri daripada Muhyiddin kerana jawatan itu sudah biasa dipegangnya sejak merdeka lagi.

Dengan semua keadaan itu, kecuali ada keajaiban dalam bertolak ansur dan kesediaan untuk berkongsi kerusi oleh UMNO di saat-saat akhir nanti, PN hampir pasti akan terus bermasalah dengan Bersatu kemungkinan ditinggal bersendirian serta Muhyiddin bakal kehilangan kerusi Perdana Menterinya selepas PRU15 nanti.

Tambah melukakan UMNO, ada pula pemimpin Bersatu yang celupar mahu UMNO lebih banyak berkorban, bukan Bersatu yang menawarkan pengorbanan terhadap UMNO yang lebih besar, lebih kuat dan lebih utuh akar umbi perjuangannya.

Di dalam PH, walaupun Bersatu bukan anggota rasmi gabungan itu, tetapi ia juga mahu menjadi parti dominan dan diiktiraf sebagai ketua.

Dengan berbekalkan lima kerusi Parlimen atau enam jika termasuk Dr. Shahruddin yang baru-baru ini meletakkan jawatan sebagai timbalan menteri, Tun Mahathir masih berusaha menonjolkan dirinya sebagai calon Perdana Menteri sekali lagi bagi gabungan tersebut.

Tindakan ini dengan sendirinya bererti Tun Mahathir mahu melangkaui kedudukan Anwar yang merupakan Pengerusi PH ketika ini.

Lebih daripada itu, Tun Mahathir juga beberapa kali memanggil PKR, DAP dan Amanah bermesyuarat dengannya seolah-olah beliau masih lagi Pengerusi PH, walaupun Anwar tidak pernah menghadirinya.

Kesimpulannya, sudahlah parti sedang terbelah dua, baik dalam PN atau PN, Bersatu sentiasa mahu menjadi dominan dan dianggap sebagai ketua.

Kalau yang ada jawatan Perdana Menteri mahu menganggap dirinya ketua, ia mungkin jugalah boleh diterima, sebaliknya yang sudah menjadi bekas dan tidak berstatus anggota rasmi pun masih mahu menjadi ketua serta ingin dirinya diangkat sebagai calon Perdana Menteri sekali lagi.

Tidakkah itu benar-benar pelik dan inilah masalah terbesar dalam PH sekarang ini?

Bersatu, kini jadi Berdua, tetapi sentiasa bermasalah kepada kedua-dua PN dan juga PH.

Post a Comment

0 Comments