Nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi sehingga mengelirukan dan sukar dicam. Itu antara kesalahan yang diberi penekanan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mengesan pesalah jalan raya dalam penguatkuasaan mereka tahun ini.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid, berkata sebanyak 12,694 notis termasuk 7,455 kompaun dikeluarkan ke atas pengguna jalan raya yang didapati melakukan kesalahan itu sepanjang tahun ini hingga Mei lalu.
"Jumlah itu boleh dikatakan agak tinggi kerana baru lima bulan tahun 2020, lebih 12,000 notis dan kompaun dikeluarkan.
"Untuk tempoh sepanjang tahun lalu pula, lebih 54,000 notis termasuk 31,716 kompaun dikeluarkan.
"Ini menunjukkan ramai pengguna jalan raya mengabaikan peraturan itu dan kita tidak mahu sikap sedemikan terus diamalkan,"
Justeru JPJ akan meningkatkan penguatkuasaan terhadap kesalahan berkenaan termasuk kesalahan jalan raya utama yang lain iaitu lebih muatan, memandu di lorong kecemasan dan memandu melebihi had laju.
Kesalahan lain adalah tidak memakai topi keledar, tali pinggang keselamatan dan memotong di garisan berkembar serta menggunakan telefon bimbit semasa memandu.
"Kita juga minta orang awam yang melihat kenderaan yang menggunakan nombor kenderaan 'fancy' (tidak mengikut spesifikasi dan mengelirukan) ini untuk membuat aduan kepada kita.
"Orang awam perlu menangkap gambar kenderaan terbabit berserta nombor pendaftarannya dan hantar ke emel aduan JPJ, aduantrafik@jpj.gov.my,"
Pemilik kenderaan yang dikenal pasti melakukan kesalahan itu akan diberikan notis dan perlu memberikan penjelasan sebelum dikenakan kompaun RM300.
0 Comments