Pak Kadir - Nak Tolong Rakyat, Kerajaan Pinjam Dari Rakyat Kemudian Cukaikan Rakyat Untuk Bayar Balik Pada Rakyat.


Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sendiri mengaku kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai kewangan yang mencukupi sehingga terpaksa meminjam sehingga RM35 bilion dari dalam negara.

Tokoh wartawan veteran, Datuk Abdul Kadir Jasin berkata, langkah untuk membiayai inisiatif rangsangan ekonomi menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) itu akan melibatkan wang rakyat.

“Sekarang Zafrul sendiri mengaku kerajaan tak cukup duit bila dia kata kerajaan akan pinjam dari sumber dalam negara sebanyak RM35 bilion.

“Pinjam daripada siapa? Siapa lagi kalau bukan kita sebab yang akan beli surat hutang kerajaan (MGS) ini adalah bank, KWSP, PNB, TH dan KWAP yang semuanya akan guna duit kita,” ujarnya.

Kelmarin, Zafrul dilapor berkata, sejumlah RM45 bilion daripada keseluruhan nilai inisiatif Prihatin dan Penjana berjumlah RM295 bilion itu akan disuntik terus oleh kerajaan dengan RM35 bilion akan dikumpulkan daripada pinjaman tempatan.

Mengulas lanjut, Kadir berkata, langkah kerajaan bakal menyaksikan rakyat akan dikenakan kadar cukai bagi melunaskan hutang pinjaman itu.

“Satu lagi, pinjam dalam negara tak semestinya lebih murah daripada luar negara.

“Nak tolong kita, kerajaan pinjam daripada kita. Lepas itu cukai kita untuk bayar balik hutang kepada kita,” bidasnya hari ini.

Beliau yang juga mantan Penasihat Komunikasi dan Media kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir turut menjelaskan perbezaan kedudukan kewangan bagi negara dan kerajaan.

“Bila Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz kata, kewangan negara kukuh banyak orang tersalah faham.

“Ada yang terus tuduh bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng bohong sebab dia kata, kerajaan tak ada duit.

“Hakikatnya, negara banyak duit tapi kerajaan tak pernah cukup duit.

“Duit yang banyak itu bukan duit kerajaan tapi duit kita rakyat jelata yang simpan dalam bank dan Tabung Haji, labur dalam Amanah Saham Bumiputera dan carum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan sebagainya,” jelas Kadir.

Tambahnya lagi, wang kerajaan adalah daripada cukai dan hasil yang hanya cukup untuk membayar gaji dan pencen kakitangan awam, selenggara pentadbiran dan membayar balik hutang.

Post a Comment

0 Comments