Tocu Dengan Pegawai Yang Terlibat Meluluskan Tapak Apa Cerita?

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah menyita hampir 200 lot di Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL) dipercayai disalahgunakan oleh pendatang asing tanpa izin (Pati) sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya tidak pernah berdiam diri daripada menguatkuasakan tindakan tegas disebabkan perbuatan mereka melanggar undang-undang.

Katanya, setakat ini, pihaknya mengesan masih ada warga asing menjalankan beberapa aktiviti perniagaan di sekitar kawasan pasar borong terbabit.

"Semalam (kelmarin), saya sudah beritahu Datuk Bandar (Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan) untuk memastikan penguatkuasaan secara konsisten.

"Jangan buat sekali dan biarkan. Kita mahu ada follow up (tindakan susulan). Kadang-kadang masalah itu berpunca daripada kita sendiri terutama tauke di situ (pasar borong) kerana mahu gunakan kaedah manual (menggunakan kakitangan).

"Apabila kita mahu memperkenalkan peralatan dan mesin baru untuk menggantikan tenaga kerja, mereka (tauke) agak keberatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pelepasan 187 gelandangan untuk mengikuti Program Latihan Khas selama sebulan di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), Sepang di Pusat Transit Gelandangan, di sini, semalam.

Menurut Annuar, salah satu inisiatif memastikan majikan tidak mengambil Pati bekerja di pasar borong itu adalah melakukan demonstrasi penggunaan mesin berteknologi.

"Biarkan mereka biasakan diri dengan teknologi dan kita akan terus lakukannya (menunjukkan demonstrasi)," katanya.

Pada masa sama, Annuar berkata, DBKL turut membuat semakan dari semasa ke semasa mengenai kegiatan membabitkan warga asing.

"Bandaraya (DBKL) ada buat semakan supaya jangan ada pekerja asing. Pekerja OK lagi, tetapi jangan lesen pula dijual," katanya.

Muka depan Harian Metro semalam melaporkan satu tapak niaga di PBKL dijual pada harga RM500,000 hingga RM1 juta oleh pemiliknya kepada warga asing di lokasi tumpuan umum itu sejak lebih lima tahun lalu.

Pemegang lesen tapak terbabit menyasarkan warga asing dari Myanmar dan Bangladesh sebagai pembeli kerana keupayaan kewangan mereka yang tinggi dan mampu membayar jumlah yang ditawarkan.

Ibarat pisang goreng panas, warga asing hanya menanti peluang pemegang lesen warga tempatan untuk menjual tapak kepada mereka kerana tahu hasil keuntungan jualan yang boleh dikaut mencecah jutaan ringgit setahun.

Mendedahkan senario itu, sumber dipetik berkata, kegiatan itu bukan lagi rahsia dalam kalangan peniaga kerana sebelum ini pasar borong utama negara itu sememangnya dimonopoli warga asing.

Post a Comment

0 Comments