Bung Telan Hajiji Hidup-Hidup



Pertukaran porfolio dalam kerajaan Sabah hanya sejurus selepas majlis mengangkat sumpah tadi memperlihatkan betapa 'rapuhnya' kerajaan negeri itu, kata wartawan veteran A Kadir Jasin.

Membandingkan dua nama utama dalam parti kerajaan - Bung Moktar Radin dan Hajiji Mohd Noor - A Kadir berpendapat tidak wujud keseimbangan dalam kerajaan berkenaan.

Justeru katanya tidak pelik kalau Bung Moktar yang juga pengerusi Umno Sabah itu 'menelan hidup-hidup' Hajiji.

"Kalau kita bandingkan watak Bung Moktar dengan Hajiji, rasanya tidak pelik kalau Bung Moktar telan Hajiji hidup-hidup," katanya melalui hantaran di media sosial petang ini.

Ia dibuat selepas salah seorang menteri Sabah yang juga anggota Bersatu menciap di Twitter mengenai pertukaran portfolio membabitkan dirinya dengan Bung Moktar.

Dalam ciapannya Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah itu membayangkan wujud sesuatu di sebalik pertukaran portfolio tersebut hanya kira-kira tiga jam selepas Hajiji dan barisan menterinya mengangkat sumpah di depan Yang di-Pertua Negeri, Juhar Mahiruddin.

Namun Masidi kelihatan merahsiakannya dan menegaskan kisah sebenar hanya akan dieritahu apabila dia bersara kelak.

Warisan Plus ada peluang

Kata A Kadir orang ramai tidak perlukan masa yang lama untuk mengetahui apa yang berlaku kerana ada "bayu dari Gunung Kinabalu" memberitahu Bung Moktar naik angin dan menuduh Hajiji memungkiri janji.

"Faham sajalah. Bung ini kepala pilihan raya Umno Sabah. Walaupun prestasi Umno tidak menyerlah malah bertambah pudar namun dia tetap 'bossku' Umno Sabah dan cukup intim dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

"Secara kebetulan kedua-dua mereka orang kena tuduh (didakwa di mahkamah)," katanya.

A Kadir yang sebelum ini menjadi seorang daripada anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu berkata apa yang berlaku di Sabah menunjukkan Hajiji hanya boleh terselamat selagi ada perlindungan dari Putrajaya.

"Itu pun selagi (Perdana Menteri) Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional (PN) masih berkuasa.

"Jadi jangan hairanlah kalau Putrajaya mempunyai pengaruh yang kuat ke atas Sabah. Lebih kurang macam zaman Umno juga.

Pada masa sama A Kadir berpendapat Warisan - yang diketuai Mohd Shafie Apdal - dan rakan mereka mempunyai peluang di negeri berkenaan.

"Ini memberi peluang keemasan kepada Shafie Apdal dan Warisan Plus untuk memainkan peranan sebagai pelindung Sabah daripada hegemoni Putrajaya dan PN," katanya.

Post a Comment

1 Comments

  1. siapa tak kenal a kadir. kesilapan ph dulu kerana tidak mengujudkan kementerian batu api untuk memantap ph. lantaklah depa nak tukar suka sama suka. yamg kau jadi batu api buat apa

    ReplyDelete