Amanah mengesahkan naib presidennya, Husam Musa melepaskan jawatan.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata demikian selepas parti itu meluluskan permohonan Husam 6 Sept lalu
“Mesyuarat bulanan Jawatankuasa Amanah yang diadakan pada 6hb September meluluskan permohonan Husam Musa untuk melepaskan jawatan naib presiden,” katanya.
Khalid bagaimanapun menjelaskan, peletakan jawatan itu adalah bagi membolehkan Husam memberikan tumpuan kepada usaha memenangi kerusi untuk Amanah di Kelantan, khasnya di kawasan Parlimen Kota Bharu.
“Memandangkan kebolehan dan kemampuan beliau masih diperlukan di peringkat nasional, Jawatan Kuasa Nasional Amanah mengambil keputusan untuk meminta beliau berperanan memantau dan bertindak sebagai penasihat kepada 3 biro dalam persiapan menghadapi pilihan raya umum ke 15, iaitu Biro Pilihanraya, Biro Komunikasi dan Biro Strategi,” katanya
Khalid juga menyifatkan dakwaan kononnya keputusan Husam melepas jawatan kerana tidak berpuas hati dengan presiden parti, Mohamad Sabu sebagai tidak berasas.
“Ia dilakukan demi melonjak dan mengukuhkan lagi kedudukan Amanah di Kelantan, khususnya di Kota Bharu,” katanya
Terdahulu seorang pemimpin Amanah pusat mengesahkan Husam menghantar surat meletak jawatan.
Wan Abd Rahim Wan Abdullah berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh presiden Amanah, Mohamad Sabu.
”Mohamad Sabu ada maklumkan bahawa Husam hantar surat peletakan jawatan kepadanya,” kata Wan Rahim yang juga bekas pengerusi Amanah Kelantan kepada FMT.
0 Comments