Parti Bersatu Sabah (PBS) malam ini mengumumkan bahawa parti itu akan bertanding 15 kerusi dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah, yang mana enam daripadanya akan bertembung dengan BN.
PBS, yang merupakan sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) tetapi bergerak sendirian dalam PRN Sabah, mengatakan pada awalnya ia bercadang bertanding 25 kerusi.
"Tetapi sebagai menghormati parti lain yang mempunyai pandangan sama, kami memutuskan bahawa yang paling penting adalah menang dan mengambil alih kerajaan Sabah demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri di masa depan," kata Presiden PBS, Maximus Ongkili dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun PBS akan bertembung dengan Umno di tiga kerusi dan dengan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) di tiga kerusi lain.
Parti itu akan bertembung dengan Umno di Bengkoka, Tanjung Aru dan Telupid dan akan bertembung dengan PBRS di Tandek, Matuggong dan Kadamaian.
Jumlah kerusi yang akan menyaksikan pertembungan PBS dengan BN mungkin meningkat kepada tujuh kerusi selepas MCA mengumumkan calon mereka.
Ini kerana PBS juga mahu bertanding di Kapayan, yang ditandingi oleh MCA pada pilihan raya umum (PRU) 2018.
MCA belum mengumumkan calon mereka.
Menariknya, calon PBS yang dipilih untuk Kapayan adalah Edwin Bosi yang menjadi wakil rakyat kawasan itu dari 2013 hingga 2018 setelah menang atas tiket DAP.
Edwin keluar dari DAP pada tahun 2017 dan digantikan oleh Jannie Lasimbang yang memenangi kerusi itu pada tahun 2018.
Baki kerusi yang akan ditandingi PBS adalah Tamparuli, Kiulu, Inanam, Kundasang dan Melalap yang ditandinginya pada PRU lalu.
Ia juga akan bertanding di Api-Api dan Karamunting yang pada PRU 2018 ditandingi oleh LDP dan juga kerusi baru Limbahau.
PBS yang bertanding di bawah logo BN pada PRU 2018 akan menggunakan logo sendiri dalam pilihan raya kali ini.
Terdahulu, Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) mengumumkan akan bertanding sebanyak 29 kerusi di bawah tiket PN di mana mereka akan bertembung BN di tiga kerusi - iaitu Paginatan, Tulid dan Sook.
Umno, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan MCA, yang juga merupakan sebahagian daripada PN, akan bertanding di bawah logo BN di Sabah.
Tidak jelas sama ada PAS, yang juga rakan gabungan dalam kerajaan persekutuan, akan bertanding di bawah BN atau PN.
Pengumuman terbaru PBS bermaksud parti-parti dalam PN akan bertembung di sekurang-kurangnya sembilan kerusi.
Di peringkat Sabah, PBS hanya bertembung dengan BN dan tidak bertembung dengan PN.
"Kerusi yang kami tandingi adalah kerusi PN. Anggota kami, terutama di peringkat akar umbi, sangat percaya bahawa kami lebih kuat apabila menggunakan bendera dan logo PBS kami, namun sebagai rakan kongsi PN," kata Maximus.
Terdapat sejumlah 73 kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya Sabah pada 26 Sept dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 12 Sept.
01) N.02 Bengkoka - Samuil Mopun (Muka baru)
02) N.05 Matunggong - Julita Majungki (Penyandang)
03) N.07 Tandek - Hendrus Anding (Muka baru)
04) N.11 Kadamaian - Demis Rumanti (Muka baru)
05) N.14 Tamparuli - Jahid @ Noordin Jahim (Penyandang)
06) N.15 Kiulu - Joniston Bangkuai (Penyandang)
07) N.18 Inanam - William Majimbon (Muka baru)
08) N.20 Api-api - Dr Yee Moh Chai
09) N.22 Tanjung Aru - Yong Oui Fah
10) N.25 Kapayan - Dr Edwin Bosi (Muka baru)
11) N.27 Limbahau - Datuk Juani @ Johnny Mositun (Muka baru)
12) N.36 Kundasang - Dr Joachim Gunsalam (Penyandang)
13) N.42 Melalap - Radin Malleh
14) N.47 Telupid - Jonnybone J Kurum (Muka baru)
15) N.54 Karamunting - Kong Nyuk Thou (Muka baru)
Malaysiakini
0 Comments