Undian Adalah Malapetaka

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump enggan menjamin peralihan kuasa aman, jika beliau kalah kepada lawan dari Demokratik, Joe Biden dan mahu mencabar keputusan pemilihan pada 3 Nov di Mahkamah Agung.

“Kita perlu lihat apa yang akan berlaku,” kata Trump kepada wartawan di Rumah Putih apabila ditanya sama ada beliau akan menyerahkan kuasanya secara aman.

Beliau yang ketinggalan kepada Biden dalam tinjauan pendapat nasional, berulang kali meragui kesahihan pemilihan itu dengan menegaskan tanpa bukti, undian pos akan menyebabkan penipuan dan keputusan “dimanipulasi”.

“Undian ialah malapetaka.”

Demokrat menggalakkan undian pos ketika penularan Covid-19. Berjuta-juta rakyat AS, termasuk sebahagian besarnya anggota tentera, menjalankan tanggungjawab melalui undian pos sejak bertahun-tahun tanpa sebarang masalah.

Pada 2016, Trump turut membangkitkan persoalan sama ada beliau akan menerima keputusan pemilihan. Beliau kemudiannya memenangi pemilihan itu.

Biden, dalam sidang media di Delaware, menyifatkan kenyataan Trump mengenai peralihan kuasa itu sebagai “tidak rasional”.

Pasukan kempennya berkata, mereka bersiap sedia untuk sebarang “tipu helah” daripada Trump, dan mengulangi kenyataan pada Julai lalu yang “kerajaan AS sangat berkemampuan mengiringi penceroboh keluar dari Rumah Putih”.

Mitt Romney, pengkritik Trump dalam kalangan senator Republican, menulis di Twitter: “Asas kepada demokrasi ialah peralihan kuasa secara aman, tanpanya tiada Belarus. Sebarang cadangan seorang presiden mungkin tidak menghormati jaminan Perlembagaan tidak dapat diterima dan tidak masuk akal.”

Rabu lalu, Trump, yang bertindak cepat mencalonkan pengganti Hakim Ruth Bader Ginsburg yang meninggal dunia Jumaat lalu, berpendapat pemilihan itu “akan berakhir di Mahkamah Agung dan saya rasa ia amat penting kita mempunyai 9 hakim”.

Trump bercadang mengumumkan pilihan calonnya Sabtu ini.

Parti Republicannya, yang mempunyai majoriti di Senat, dijangka segera mengesahkan pencalonan itu.

Jika mereka berjaya, Mahkamah Agung akan mempunyai majoriti hakim berhaluan konservatif pada kadar 6-3, mungkin menyukarkan Demokrat jika wujud pertikaian undang-undang berhubung keputusan pemilihan presiden.

“Ini ialah penipuan yang dirancang Demokrat. Ia akan dibawa ke Mahkamah Agung AS dan saya rasa mempunyai keadaan 4-4 tidak baik.”

Post a Comment

0 Comments