Penegasan ini mungkin penting dan mungkin tidak. Mulai 6 Ogos lalu saya tidak lagi menjadi ahli mana-mana parti politik dan tidak akan terlibat lagi dengan politik kepartian (partisan politics).
Bersabit kenyataan Setiausaha Agong Umno, Ahmad Maslan, di bawah ini, jelaslah bahawa kerajaan Perikatan Nasional sama ada telah hilang majoriti misterinya atau ibarat telur di hujung tanduk seekor kerbau jantan yang akan berlaga.
Secara langsung ia memberi kewibawaan kepada dakwaan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, dan pihak-pihak lain bahawa Perdana Menteri, Muhyiddin Mohd Yassin, telah hilang sokongan majoriti.
Lagi pun, majoriti yang didakwa oleh Presiden Bersatu itu hanyalah teori dan tekaan (conjecture). Ia tidak pernah diuji di Dewan Rakyat dan Muhyiddin menggunakan pelbagai tipu helah bagi mengelakkannya.
Dengan penarikan balik sokong Umno ini, kedudukan kerajaan PN semakin tidak menentu.
Menurut kenyataan Ahmad Maslan yang dikeluarkan selepas mesyuarat Biro Politik parti itu, sokongan Umno seterusnya akan hanya diberikan dengan syarat-syarat baru. Tentulah syarat-syarat baru itu lebih ketat.
Tapi nampaknya dengan menghebahkan hasil keputusan Biro Politik tanpa menunggu pengesahan Majlis Tertinggi terdapat "masalah" dalam Umno sendiri.
Boleh jadi jika dibawa kepada MT akan berlaku perbezaan pendapat kerana jelas ada sebahagian ahli MT yang ternyata menjadi penyokong kuat Muhyiddin kerana mereka ada jawatan empuk dalam kerajaan PN.
Kenyataan Ahmad Maslan itu juga menguji pendirian Pas dalam Muafakat Nasional kerana parti itu (Pas) baru saja mengulangi ikrar menyokong Muhyiddin dan kerajaan PN.
Dengan cadangan menyegerakan pendaftaran MN itu, Biro Politik Umno, secara tidak langsung memberi kata dua kepada Pas sama ada hendak terus bersama PN atau kembali kepada MN.
1 Comments
Geng A agak takut bila DYMM Agong tidak melayani kehendak DSAI, bermaksud segala usaha untuk melepaskan tengkok masing-masing hampir tak kesampaian. Maka strategi ugutan dikenakan terhadap Abah untuk mengikuti kehendak mereka walaupun pada awal proses peralihan kuasa, mereka tak tuntut apa-apa asalkan dapat jatuhkan PH. Nah, jelas bila UMNO(A) bakal menyatakan sokongan kepada DSAI bukan PH bila kehendak mereka dipenuhi. Jelas ada agenda tersembuyi dan mereka telah berpakat. Siapa tak kenal DSAI lidah bercabang, bila berdepan dgn DAP kata lain, bila berdepan dengan PAS kata lain. Lebih teruk berbohong kepada DYMM Agong dan buat statement media lepas tu, dah serahkan dokumen untuk Agong teliti. Nah siapa yang kita nak percaya? Terang-terang cakap berbohong termasuk UMNO(A) lidah bercabang rata-rata terpalit dengan kes-kes mahkamah.
ReplyDelete