Krisis Perak, Parti Buntu Jalan.. Bangkai Betul Korang Ni...

Setelah undi percaya telah dikemukakan oleh Umno dalam Dewan Undangan Negeri Perak siang tadi, Ahmad Faizal Azumu telah disingkirkan sebagai Menteri Besar Perak apabila beliau hanya mendapat 10 undi menyokong, 1 undi berkecuali dan 48 undi menolak.

Tamatlah riwayat Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak yang mana membawanya dari PH setelah kerajaan PH tumbang. Lebih malang bagi Ahmad Faizal, ia dijatuhkan oleh YB UMNO sendiri yang merupakan parti komponen dalam kerajaan PN.

Pesuruhjaya PAS telah meluahkan perasaan kecewanya terhadap pengkhianatan ini. Katanya penyingkiran ini merupakan satu pengkhianatan tetapi apabila kerajaan PH jatuh diperingkat Perak dan pusat satu ketika dahulu ia tidak boleh difatwakan sebagai pengkhianatan. Sukar membaca mantiq pemimpin Pas ini. Sebagai balasan, PAS melalui Setiausaha Agungnya menyatakan yang PAS tidak akan terlibat untuk pembentukan kerajaan baru di Perak.

Bagi pihak Umno pula, ahli parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz berkata penyingkiran ini telah dirancang 2 bulan yang lalu. Jika benar maka Pas sebagai kekasih hati Umno tidak mengetahui akan tindakan ini. Setelah Pas merajuk, Ahmad Maslan selaku Setiausaha Agung Umno menyatakan penyingkiran ini tidak melibatkan pertukaran kerajaan, ia melibatkan pertukaran Menteri Besar sahaja. Benarlah yang Pas tidak mengetahui usaha ini, kalau tidak masakan Pas mahu merajuk sehingga tidak mahu terlibat dalam kerajaan baru yang bakal dibentuk di Perak.

Kedudukan ini sangat menyulitkan : 
• BN mempunyai 25 kerusi, 
• PH 24 kerusi, 
• PAS 3 kerusi, 
• Bersatu 5 kerusi 
• Bebas serta Gerakan masing-masing 1 kerusi. 

Jika Pas tidak mahu terlibat dalam penubuhan kerajaan baru, manakala Bersatu tidak mahu menyokong BN akibat terluka dengan pengkhianatan yang dilakukan Umno pada Ahmad Faizal, maka apakah solusi yang ada untuk kerajaan dibentuk?

Ada pandangan yang menyatakan bahawa sekarang adalah masanya Umno dan sebahagian parti dalam PH bergabung dan ia akan menjadi perintis kepada ura-ura penubuhan kerajaan campuran diperingkat Pusat. Usaha Umno dan sebahagian parti dalam PH untuk bergabung masih terlalu sukar kerana pastinya tindakan ini akan memecah-belahkan PH kemudian hari.

Usaha penggabungan ini boleh dilakukan dengan cara Umno perlu bergabung dengan keseluruhan parti yang ada dalam PH. Bukan Umno+PKR+AMANAH sahaja, atau Umno+DAP sahaja. UMNO perlu bergabung dengan DAP,AMANAH dan PKR. Jika syarat ini mampu dilaksanakan, ia mampu mengurangkan risiko konflik dalam kalangan PH. Kerana PH bergerak dalam satu pasukan yang sama dengan pasukan BN (UMNO).

Mengapa PH perlu bersama Umno? Tiada cara lain? 

Kaedah lain ialah mengekalkan status lama di mana Umno+Bersatu+Pas kekal sebagai kerajaan PN dan hanya bertukar MB. Itu jika dikekalkan, jika perpecahan PN semakin besar, suka atau tidak PH perlu bergabung dengan Umno ataupun PH perlu mendapatkan sokongan dari semua wakil rakyat Bersatu termasuk Bebas atau Gerakan.

Jika PH berjaya memujuk wakil rakyat Bersatu, Bebas dan Gerakan menyokong PH, PH akan membentuk kerajaan tetapi ia adalah kerajaan majoriti tipis iaitu 1 kerusi sahaja. Krisis negeri Perak akan tetap berlarutan. Tetapi jika PH bersama Umno bersatu membentuk kerajaan Perak ia akan mewujudkan kerajaan yang majoriti besar dan kerajaan masih boleh menjalankan fungsinya sebagai kerajaan pasca-Covid-19.

PH perlu tinggalkan Tun? 

Dalam konteks negeri Perak, Pejuang tidak dapat membantu PH kerana Pejuang tidak mempunyai sebarang kerusi di Perak. Maka walau penubuhan kerajaan PH+Umno berlaku di Perak sedikit sebanyak mempengaruhi situasi diperingkat Pusat, tetapi dalam keadaan kini, sebarang usaha untuk memastikan kerajaan Perak terbina dengan kukuh dalam masa sama PH mendapat keuntungan politik dari usaha itu perlu dilaksanakan. Melainkan PN masih kekal bersama di Perak.

Post a Comment

0 Comments