Walaupun kehilangan majoriti sekalipun kerajaan Perikatan Nasional Plus masih boleh kekal menjadi kerajaan, sekurang-kurangnya buat masa ini, kata pakar.
Ini kerana walaupun hanya memiliki sokongan 110 daripada 220 ahli parlimen, PN Plus masih merupakan blok terbesar di Dewan Rakyat.
"Ini akan melemahkan (perdana menteri) Muhyiddin Yassin tetapi belum cukup untuk menyingkirkannya sehingga muncul majoriti alternatif," kata pakar Sains politik, Wong Chin Huat kepada Malaysiakini."Dan sehingga cukup anggota Umno yang bersedia menyokong kerajaan Pakatan Harapan, gabungan Muhyiddin masih mempunyai jumlah terbesar walaupun tidak mempunyai majoriti dalam Dewan," tambahnya.
Pandangan ini dikongsi oleh felo kanan Majlis Profesor Negara, Jeniri Amir dan peguam pakar perlembagaan, Lim Wei Jiet.
PN Plus hilang majoriti selepas Ahli Parlimen Machang dari Umno, Ahmad Jazlan Yaakub menarik balik sokongan kepada kerajaan hari ini.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah juga menyuarakan penentangan terhadap Muhyiddin namun setakat ini belum dizahirkan menerusi undian di parlimen.
Sementara itu, perpecahan dalam blok pembangkang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) dan Anwar Ibrahim hanya memiliki sokongan 91 ahli parlimen.
"Tanpa majoriti alternatif, ada ruang kekaburan bagi Agong untuk percaya bahawa Muhyiddin masih memiliki majoriti, kerana pilihan raya tidak diambil kira," kata Wong.
Sementara itu, Lim - yang juga pengasas bersama Muda - berkata Muhyiddin juga tidak wajib mengundurkan diri buat masa ini.
"Pada prinsipnya dia harus mengundurkan diri. Tetapi itu tidak wajib dari segi undang-undang," katanya ketika dihubungi.
Peguam itu berkata tiada keperluan bagi Muhyiddin untuk mengadap Yang di Pertuan Agong melainkan dia dipanggil ke Istana.
Ahmad Jazlan menarik balik sokongan daripada PN di tengah-tengah desakan agar Umno memutuskan hubungan dengan Bersatu yang dipimpin Muhyidddin
Umno akan membuat keputusan mengenai perkara itu pada perhimpunan agung parti itu, 31 Januari ini.
"Nasib PN akan lebih jelas kemudian," kata Jeniri.
Walaupun Umno menolak kerjasama dengan Bersatu, ini bukan bermakna parti itu menyokong Anwar dan PKR - walaupun Anwar mendakwa memiliki majoriti kuat.
Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Abdul Aziz menegaskan bahawa Umno masih mempertahankan prinsip "no Anwar, no DAP".
Wong berkata sentimen inilah yang akan menjadikan Muhyiddin dan PN terus berkuasa buat masa ini.
"Umno masih terperangkap dengan naratif anti-Anwar, PH, DAP dan bimbang pusingan-u secara tiba-tiba akan menyebabkan kekalahannya di tangan PAS dan Bersatu di bawah panji perpaduan Melayu.
"Ringkasnya, apa yang membuatkan Muhyiddin bertahan adalah perbezaan yang masih belum dapat diselesaikan antara Umno dan PH-DAP," katanya.
1 Comments
bukan setakat u-turn, tapi memerlukan 360°-turn dengan menukar kesemua yang bermasalah atau pembawa masalah atau mewarisi masalah lampau atau yang terlalu desparado akibat masalah lampau sehingga tahap kronik tak dapat mengenal antara kawan dan musoh, kenalilah mereka satu persatu supaya rakyat dapat mengenal mereka, rakyat tak memerlukan mereka lagi.
ReplyDelete