Dua Ahli Parlimen Selangor menyelar tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) melaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di kebanyakan lokasi di negeri itu dari 3 hingga 16 Julai.
Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata tidak guna melaksanakan PKPD jika kebanyakan sektor masih beroperasi, sedangkan syarikat dan pekerja lain menderita akibat sekatan pergerakan.
Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob terdahulu berkata, sektor perlu boleh terus beroperasi manakala pekerja boleh meninggalkan lokasi PKPD untuk bekerja, dengan menggunakan surat yang sebelum ini telah dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Santiago memberitahu, kerajaan mesti melakukan saringan serta vaksinasi besar-besaran di negeri itu, dengan menggesa Putrajaya supaya membawa vaksin kepada orang ramai, bukannya menyuruh mereka menunggu janji temu dan pergi ke lokasi vaksinasi.
“Jika tidak, buang masa saja, negara akan hancur dan rakyat semakin miskin. Tahukah berapa ramai orang kini tiada kerja dan hidup dibelenggu ketakutan?
“Kerajaan memang langsung tidak mengerti.
“Lakukanlah vaksinasi untuk semua orang di Klang. Saya akan mengaturnya untuk menteri terlibat, termasuk di kilang-kilang, malah berbesar hati memastikan semua sumber diperlukan mencukupi,” katanya.
Sambil menyifatkan PKPD dengan prosedur operasi standard (SOP) longgar sebagai tidak difikirkan masak-masak, Ahli Parlimen DAP itu berkata, sekatan pergerakan ketat sepatutnya dilaksanakan pada awal PKP 3.0, Jun lalu.
“Jika kilang punca masalah, wajibkanlah kilang membuat ujian untuk pekerja mereka setiap tiga hari menggunakan kit ujian pantas. Barulah masalah boleh diselesaikan.”
Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad pula berkata, PKPD diumumkan tidak menyasarkan atau mengenal pasti di mana kluster sebenarnya berada.
Memetik bagaimana Menteri Besar Amirudin Shari telah berkata 80% kluster di negeri itu melibatkan kilang, Khalid berkata Putrajaya seolah-olah tidak mengambil kira pandangan berkenaan, atau pasukan petugas Covid-19 negeri itu.
Beliau yang menyuarakan rasa kecewa dengan pengumuman Ismail itu berkata, kerajaan turut gagal memberikan notis secukupnya kepada orang ramai seterusnya bimbang ada yang akan melakukan pembelian panik dalam tempoh dua hari akan datang.
“Orang ramai sudahpun dalam keadaan terdesak dan kini ditekan lagi. Walaupun ada lokasi yang tiada kluster atau masalah, tiba-tiba semua orang perlu disekat pergerakan.
“Jadi nampak seperti tidak difikirkan secara mendalam semata-mata mahu menunjukkan Putrajaya melakukan sesuatu disebabkan bilangan kes yang semakin meningkat.
“Lebih baik jika mereka bekerja sama dengan kerajaan negeri untuk menilai di mana masalah sebenarnya.
“Saya tidak tahu apa yang mereka cuba lakukan. Mereka nampak langsung tidak mengerti masalah rakyat,” katanya kepada FMT.
Pengarah komunikasi Amanah itu turut pelik kerana waktu operasi kedai makan sekali lagi dihadkan dari jam 8 pagi hingga 8 malam.
“Apabila waktu operasi disekat seperti itu, orang ramai akan menghurungi kedai untuk membeli makan dalam tempoh yang singkat itu. Saya tidak faham logik di sebalik peraturan ini.
“Ia benar-benar membebankan rakyat dan bukannya menangani masalah berkenaan.”
PKPD bakal dilaksanakan di 34 mukim di Selangor serta 14 lokaliti Kuala Lumpur mulai Sabtu.
2 Comments
Kalau mereka buat betul2 mcm pkp1.0 rasanya rakyat tak bising. Semua suka masa tu.
ReplyDeleteRakyat juga sokong darurat kerana percaya kerajaan mampu lakukan yg terbaik spt pkp1.0.
Tapi malangnya dikabarkan hanya sandiwara utk pertahankan kuasa.
Sepanjang darurat...tiada teguran dan kritikan dari pembangkang mahupun dari mp komponen kerajaan mampu menegur kelemahan kerajaan.Tidak diendahkan malah diperli tentera siber mereka.
Skrg mrk cuba buat yg 'terbaik' setelah ydp agong membuat teguran agar parlimen bersidang.
Itu pun setelah ramai rakyat dibelenggu ketakutan dgn jangkitan dan yg terkorban semakin bertambah setiap hari.
Dia sedar kluster pencetus utama wabak tapi masih cuba menidakkan data dan fakta. Kegilaan melampau percubaan menafikan punca wabak menular. Sama dengan menafikan video hd yg jelas nampak muka pelakunya. Adakah rakyat ingin dikencing oleh muka yg sama?!
Vaksinasi...lembab!!!!
Yg menjaganya jenis hati tisu. Suka dilihat dalam keadaan popular bak artis baru diangkat. Syukur belum dijulang.
Serkap jarang dan semberono. Nyaris pihak pengeluar masih dpt berdiplomasi dgn memberi 5juta dos. Kalau kena dgn presiden negara spt trump dah lama berputih mata.
Nasiblah ada menteri luar yg bijak berdiplomasi. Banyak vaksin dan bantuan dari negara luar. Kalaulah dia pm....makin serabut gamaknya.
Sentiasa betul dan poyo sukar menerima kritikan. Cukuplah lagak poyo menjilat. Rasa hebat sangat joinlah org terkanan pru15 nanti.
Kepada frontliners...bertabahlah
Terima kasih atas tanggungjawab anda selama ini. Semoga dibalasNya jasa anda. Kami sentiasa mendoakan agar diberi kekuatan dan ketabahan.
Dulu sokong darurat demi melawan pandemik. Nampak makin tergadai pula nasib rakyat. Program imunisasi pula lembab. Ada yang tak sempat divaksin kerana menemui ajal angkara covid. Fasa untuk warga emas dan berisiko patut diberi keutamaan.
ReplyDelete