Kalau Company Bursa Tu Bankrap Macam Mana? Siapa Akan Tanggung Loan Tu?

Bekas perdana menteri Najib Razak mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan program kepada bank untuk membiayai pelaburan saham oleh rakyat Malaysia bagi membolehkan rakyat membina kekayaan jangka panjang.

Ini, katanya bagi mengambil kesempatan ke atas pasaran saham Malaysia yang kini berada di bawah nilai (undervalued) berbanding negara-negara lain, memandangkan ekonomi negara mula dibuka semula manakala harga komoditi keluaran Malaysia serta eksport barangan pembuatan negara masih kukuh.

Kata Najib, pasaran saham Malaysia pernah menjadi kedua paling corot dalam dunia pada tahun ini, dan meskipun mencatatkan sedikit peningkatan selepas kerajaan bertukar bulan lepas, ia masih di kedudukan keenam paling corot di dunia kini.

Katanya, pada ketika ini, harga saham berada pada paras rendah, yang bermakna ada banyak syarikat membayar dividen yang lebih tinggi berbanding caj perkhidmatan sebenar bank.

“Kadar cuma 1.9 peratus setahun bagi simpanan tetap (FD) tiga tahun ketika ini manakala banyak saham-saham "bluechip" (saham kukuh) seperti Tenaga (4.1 peratus), Maybank (5.6 peratus) dan Top Glove (5.7 peratus) diramal membayar dividen yang lebih tinggi.

“Oleh itu, saya mencadangkan kerajaan boleh memperkenalkan program kepada bank-bank Malaysia agar membiayai 70 peratus daripada pembelian saham dengan kadar caj perkhidmatan sebenar sebanyak 3 peratus bagi setiap rakyat yang ingin membuat pelaburan dalam senarai saham yang telah disyorkan penganalisis kewangan dan dibenarkan.

“Ini samalah seperti skim pinjaman ASB (Amanah Saham Bumiputera) yang sudah dilaksanakan sejak dahulu lagi.

“Rakyat mampu membina kekayaan secara jangka masa panjang apabila harga saham naik. Jika tidak naik pun, kadar dividen masih boleh membiayai kos faedah,” katanya di Facebook.

Kata Najib, sekarang merupakan peluang bagi membolehkan seluruh rakyat turut terlibat bersama-sama dalam pemulihan ekonomi negara menerusi pembelian saham, lebih-lebih lagi pasaran saham melambangkan keyakinan dan kecergasan ekonomi.

“Memandangkan pasaran saham melambangkan keyakinan dan kecergasan ekonomi, kerajaan perlu melaksanakan langkah yang mampu menambah keyakinan pelabur untuk menjadikan pasaran saham Malaysia lebih dinamik, lebih menarik dan lebih merangsang perhatian pelabur,” tambahnya.

Antara langkah yang dicadangkan Najib, ialah untuk kerajaan sekali lagi menggantung ‘jualan singkat yang dipantau’ (regulated short selling) serta ‘pinjaman sekuriti’ (script borrowing and lending) untuk sekurang-kurangnya enam bulan, seperti dilaksanakan tahun lalu.

Ia katanya bagi menstabilkan pasaran saham dan melindungi pelabur runcit.

Najib turut mencadangkan agar proses mendapatkan kelulusan Suruhanjaya Sekuriti dalam semua urusan syarikat tersenarai dipercepat dan dipermudah.

“Saya mendapat maklumat bahawa tempoh kelulusan oleh Suruhanjaya Sekuriti pada masa ini memakan masa terlalu lama dan ini menjadi penghalang bagi syarikat-syarikat tersenarai tempatan untuk bergerak dengan lebih laju bagi aktiviti-aktiviti perkembangan perniagaan mereka.

“ Jadi, proses ini perlulah disegerakan dan dipermudahkan,” katanya lagi. 

Malaysiakini

Post a Comment

0 Comments