Dedak Ikan Air Tawar - Penternak Gulung Tikar Sekiranya Harga Terus Meningkat Tahun Hadapan



Rata-rata penternak ikan air tawar di kawasan luar bandar terpaksa menanggung kos yang tinggi berikutan harga dedak makanan ikan dipercayai meningkat hampir 50 peratus sejak tahun lalu.

Seorang pengusaha ternakan ikan air tawar di Kampung Lepan Jaya, di sini, Mat Nawi Hussin, 63, berkata, dia mengeluarkan belanja sebanyak RM20,000 sebulan bagi membeli dedak untuk 100,000 ekor ikan di tujuh buah kolam ternakannya.

Katanya, bagi menjimatkan kos, dia terpaksa menggantikan dedak dengan makanan sam­pingan lain seperti kelapa sawit, anak ikan, roti dan buah-buahan.

“Harga biasa bagi satu beg makanan seberat 20 kilogram adalah RM54, namun harganya sudah naik kepada RM95.

“Sebelum ini, saya memerlukan enam beg dedak sehari untuk ikan kelah, patin, tilapia, tongsan dan lampam kerai. Ekoran kenaikan kos, saya terpaksa mengurangkan kepada tiga beg sehari,” katanya di sini semalam.

Mat Nawi yang mengusahakan penternakan ikan hampir 30 tahun lalu berkata, kenaikan kos itu memberi kesan kepada perniagaannya apabila keuntungan diperoleh hanya cukup makan dan tidak mampu menggaji pekerja.

Katanya, kenaikan mula berlaku tahun lalu sehingga Oktober lepas, malah difahamkan akan berlaku lagi kenaikan harga.

“Saya harap kerajaan dapat memberi perhatian tentang masalah dihadapi tentang kenaikan harga makanan dan dedak ternakan ini.

“Jika ia berterusan, saya bimbang lebih ramai pengusaha atau penternak gulung tikar,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Dewan Perniagaan Melayu Malaysia negeri Kelantan, Asharun Uji berkata, pihaknya mendapati, berlaku kenaikan harga makanan ikan dan dedak haiwan ternakan di pasaran.

Katanya, langkah awal atau jangka masa terdekat memerlukan tindakan segera pihak kerajaan bagi membantu penternak terbabit.

Post a Comment

0 Comments