Penyokong UMNO Selangor diseru supaya mengikuti langkah Tan Sri Noh Omar bernaung di bawah payung Perikatan Nasional (PN) menjelang pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Setiausaha Badan Perhubungan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, UMNO Selangor ketika ini dipaksa berpeluk dengan musuh tradisinya iaitu Pakatan Harapan (PH) dan DAP di negeri itu.

Ramai dalam kalangan mereka yang tidak dapat menelan dan menerima keputusan tersebut.

Jika UMNO bukan lagi payung, kita cari dan berteduh di bawah payung lain yang lebih meyakinkan, jujur dan bersungguh-sungguh mahu berjuang serta mempertahankan hak dan kepentingan umat Melayu.

Tinggalkan payung itu, ayuh PRN Selangor ini kita pakat berteduh bawah teduhan payung baharu PN. Patah tumbuh hilang berganti.

Semalam, Noh yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor dilaporkan berkata, sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) terus merosot pada PRN yang dijangka diadakan pada tahun ini.

Rakyat tidak percaya dengan prinsip parti itu yang sebelum ini sering mengungkapkan perkataan ‘No Anwar, No DAP’ sebaliknya menjalin kerjasama membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

UMNO bukan lagi payung orang Melayu, akurlah bahawa ia kenyataan seorang bekas tokoh pejuang UMNO yang kenal UMNO Selangor luar dan dalam.

Dalam pada itu, beliau mengakui masih menjadi penyokong kuat kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Hubungan saya dengan Najib rapat dan  sempat menemuinya di mahkamah selepas dipecat daripada UMNO. Saya sempat bersalam dan berborak malah Najib menasihatkan supaya banyak bersabar serta tidak terus meninggalkan parti,” ujarnya.

Tambah Noh yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, beliau berharap tiada pihak menghalang niat murninya untuk membalas budi rakyat setempat.

“Saya akan tetap bersama rakyat Tanjong Karang yang sudah banyak membantu saya sehingga saya menjadi Ahli Parlimen dan menteri. Jangan halang saya untuk berbakti dan membalas budi berkenaan,” tegasnya