Bebas! Sanusi tidak dipertuduhkan hasut berkaitan Sultan Selangor


Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan menghasut dalam isu yang terkait dengan Sultan Selangor.

Peguam ahli politik itu, Awang Armadajaya Awang Mahmud, mengesahkan bahawa Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan pembebasan penuh pagi ini.

Sebelum ini, Sanusi menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menarik balik kes hasutan terhadapnya.

Tiga bulan lalu Sanusi memohon maaf kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung komennya semasa kempen Pilihan Raya Negeri Selangor di Selayang.

Dia membuat kenyataan terkait dengan Sultan Selangor pada 11 Julai tahun lalu.

Sebelum permohonan maaf dibuat Sanusi pada Sept, Peguam Negara telah menolak representasi pemimpin kanan PAS berkenaan berhubung kes tersebut.

Awang berkata pembebasan penuh itu hanya atas satu pertuduhan menghasut yang melibatkan Sultan Selangor.

Katanya pertuduhan kedua melibatkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah (kini Sultan Pahang), masih akan diteruskan ke perbicaraan penuh.

Pada 18 Julai tahun lalu, di Mahkamah Sesyen Selayang, Sanusi mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas dua pertuduhan menghasut yang dikaitkan dengan ceramahnya tujuh hari sebelumnya.

Dia didakwa mengeluarkan kata-kata yang mempunyai kecenderungan untuk menimbulkan ketidaksetiaan terhadap seorang pemerintah.

Mengikut pertuduhan pertama, Sanusi didakwa berkata kesultanan Kedah adalah satu-satunya di negara ini yang mempunyai keturunan yang tidak putus-putus, dan pemerintah Kedah tidak akan melantik orang seperti Amirudin Shari sebagai menteri besar untuk mengetuai pentadbiran negeri.

Mengikut pertuduhan kedua, Sanusi kononnya mempersoalkan sama ada Agong benar-benar menitahkan supaya kerajaan campuran dibentuk selepas pilihan raya umum pada Nov 2022 atau sebaliknya.

Post a Comment

0 Comments