UMNO Kini di Persimpangan – Keputusan yang mengecewakan
Tindakan kepimpinan semasa UMNO jelas mencerminkan kecenderungan mereka untuk tunduk kepada pengaruh Pakatan Harapan (PH) dan DAP. Keengganan mereka membiarkan populariti Datuk Seri Najib Razak kembali menguat kelihatan begitu ketara sehingga sanggup menggunakan institusi Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sebagai alasan untuk membatalkan solidariti yang dirancang.
Realitinya, solidariti ini bukan semata-mata untuk membela Najib, tetapi juga untuk mempertahankan martabat dan imej institusi diraja, khususnya kedudukan YDPA. Rakyat mahu titah tambahan (adendum) yang pernah dikeluarkan oleh Agong dihormati, dan inilah antara sebab utama mengapa ramai merancang untuk turun ke Putrajaya pada Isnin depan.
Himpunan ini bukan satu bentuk ketidakpatuhan terhadap institusi diraja, sebaliknya ia adalah manifestasi penghormatan kepada YDPA—baik yang dahulu mahupun yang sekarang. Kesetiaan kepada raja dan negara seharusnya berterusan dalam semua keadaan dan bukan bersifat terpilih demi keuntungan politik semata-mata.
Malangnya, pada saat akhir, kepimpinan UMNO berjaya juga mencipta alasan untuk menarik diri daripada solidariti ini. Keputusan tersebut sudah pasti mengecewakan penyokong-penyokong Najib yang dahulu setia, tetapi kini seolah-olah terikat dengan agenda PH dan DAP.
Walaupun UMNO mengambil langkah untuk membatalkan kehadiran, diharapkan penyokong PAS, penyokong Najib, dan rakyat yang prihatin tetap hadir bagi mengikuti perkembangan kes yang dijadualkan Isnin depan.
Para pemimpin UMNO mungkin memilih untuk mengelak, tetapi rakyat yang setia kepada institusi diraja akan terus berhimpun secara aman dan tertib, menunjukkan sokongan tanpa menimbulkan sebarang kekecohan.
0 Comments