Karikatur Terbakar, Hati Abang Akmal Melecur ?



Tiba-tiba, satu karikatur terbakar di Sabah telah membakar hati ramai. Bukan kerana rasuah, bukan kerana Musa Aman yang pernah ada 46 pertuduhan dibersihkan macam basuh baju, tetapi kerana karikatur Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang dibakar mahasiswa.

Lalu tampil Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, dengan kata-kata penuh kasih sayang: "bodoh dan kurang ajar." Dalam dunia Dr Akmal, bakar gambar lebih biadab dari membakar harapan rakyat yang percaya pada janji reformasi. Lebih salah dari mereka yang masih bebas walau dibicarakan oleh sejarah dan mahkamah.

Lebih menarik, Akmal tidak hanya mengecam, tapi turut menawarkan pertemuan bersemuka dengan mahasiswa tersebut. Katanya, "kalau rasa berani, jumpa abang." Nampaknya kita kini ada abang reformasi baru – bukan untuk menentang penindasan, tapi untuk menegur adik-adik yang “bakar gambar”.

Lucunya, bila pemimpin UMNO dahulu disindir atau ditelanjangkan imej mereka, suara lantang pemuda-pemuda seperti Akmal tidak pula terlalu garang. Dulu gambar Najib dipijak, Rosmah jadi bahan lawak, ada yang diam – mungkin masa tu belum jadi “abang” lagi.

Tapi sekarang lain – sekarang Madani. Dalam Madani, bakar karikatur dianggap kurang ajar, tapi melantik tokoh yang pernah dicemari tuduhan berat jadi Yang Dipertua Negeri, itu seni pentadbiran yang sukar difahami oleh mahasiswa biasa.

Dan ya, karikatur itu hanya lambang – simbol kecewa dan protes. Tapi dalam dunia politik hari ini, simbol lebih menggerunkan dari sistem yang reput. Lebih penting untuk jaga air muka, dari jaga air muka negara.

Akhir kata....

Kepada mahasiswa yang membakar karikatur – anda mungkin tidak sopan pada kaca mata sesetengah pemimpin. Tapi sejarah selalunya bermula dengan ketidaksopanan terhadap sistem yang gagal.

Dan kepada "abang" yang mahu datang jumpa adik-adik – mungkin boleh bawa sekali senarai janji reformasi yang belum ditunaikan. Biar diskusi jadi matang, bukan sekadar marah kerana gambar dibakar.



Post a Comment

0 Comments