Sebuah kisah yang tular di media sosial membuka semula perbincangan hangat tentang perancangan kewangan persaraan di kalangan rakyat Malaysia selepas seorang pesara berusia 58 tahun dilaporkan terpaksa kembali bekerja sebagai pemandu e-hailing selepas menghabiskan keseluruhan simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bernilai RM700,000 hanya dalam tempoh tiga tahun selepas bersara.
Menurut posting yang dikongsikan di platform Threads, lelaki itu bersara pada umur 55 tahun dengan jumlah simpanan KWSP sebanyak RM700,000. Namun pada usia 58, beliau kembali ke klinik untuk menjalani pemeriksaan perubatan bukan untuk urusan rehat atau aktiviti santai, tetapi untuk bekerja semula sebagai pemandu e-hailing seperti Grab, kerana wang simpanannya telah habis sepenuhnya.
Posting tersebut menarik perhatian ramai netizen yang berkongsi pendapat serta pengalaman ahli keluarga mereka yang menghadapi situasi simpanan persaraan yang cepat habis.
Antara komen yang muncul adalah tentang individu yang kehilangan wang simpanan selepas melabur dalam aset berisiko seperti kripto dalam masa yang singkat atau menggunakan simpanan untuk projek peribadi seperti pembinaan rumah untuk anak-anak.
Seorang pengguna turut menyarankan agar simpanan KWSP diurus melalui pengeluaran secara bulanan selepas pencen, berbanding mengambil amaun secara sekaligus. Ini dilihat dapat membantu pesara mengurus aliran tunai mereka dengan lebih baik dan mengelakkan situasi “habis duit sebelum masa”.

0 Comments