Empat negara Teluk dilaporkan sedang mempertimbangkan langkah drastik untuk menarik keluar pelaburan mereka dari Amerika Syarikat susulan konflik yang semakin memuncak antara Washington dan Tehran. Menurut laporan media antarabangsa, negara yang terlibat ialah Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait dan Qatar.
Jumlah pelaburan yang mungkin ditarik keluar dianggarkan mencecah sekitar AS$2 trilion, menjadikannya antara potensi pengaliran keluar modal terbesar yang pernah berlaku melibatkan negara Teluk terhadap ekonomi Amerika.
Langkah ini dipercayai bukan sekadar keputusan ekonomi, tetapi juga satu bentuk tekanan politik terhadap pentadbiran Presiden Donald Trump agar menghentikan operasi ketenteraan terhadap Iran yang kini semakin meluas.
Pada masa yang sama, negara-negara Teluk juga dilaporkan mahu mengukuhkan kedudukan kewangan mereka sekiranya perang di rantau Asia Barat berlarutan. Konflik yang semakin panas dijangka memberi kesan langsung kepada ekonomi rantau tersebut, terutama dari segi penurunan hasil tenaga, sektor pelancongan dan gangguan kepada laluan perkapalan serta perdagangan.
Dengan menarik keluar sebahagian pelaburan dari Amerika Syarikat, negara-negara Teluk mahu memastikan mereka mempunyai dana kecemasan yang mencukupi sekiranya situasi perang menjadi lebih serius. Langkah ini juga dilihat sebagai usaha menilai semula keselamatan serta kualiti pelaburan mereka di Amerika dalam keadaan geopolitik yang semakin tidak menentu.
Perkembangan ini turut menimbulkan kebimbangan bahawa hubungan antara Amerika Syarikat dan sekutu tradisionalnya di Teluk mungkin mula menunjukkan tanda-tanda keretakan apabila konflik dengan Iran terus meningkat.
Sumber: Financial Times

0 Comments