• Politik Terkini

    Wednesday, May 4, 2016

    Khalid - Tiada Lagi Polis Pengiring Untuk Mahathir



    Khalid berkata, beliau mengeluarkan perintah itu kerana polis tidak boleh terbabit dalam aktiviti bercanggah dengan undang-undang serta perlembagaan.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan bahawa beliau memberi arahan supaya khidmat pengiring bermotosikal yang diberikan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad ditarik balik.

    Bercakap kepada pemberita di Kota Kinabalu, beliau berkata ini kerana anggota polis tidak mahu terbabit dengan acara yang bercanggah dengan undang-undang serta perlembagaan dihadiri oleh bekas perdana menteri itu.
    "Kami batalkannya kerana dia gunakan pengiring untuk menghadiri perhimpunan haram seperti himpunan BERSIH, himpunan Anti-GST, dan mengumpul tandatangan bagi Deklarasi (Rakyat).
    "Bagaimana polis boleh mengiringnya ke himpunan tersebut? Kita tidak boleh menyokongnya, jadi, saya ambil keputusan untuk membatalkannya," katanya.
    Khalid bagaimanapun berkata keputusan itu bukan muktamad sambil menambah ia akan dinilai berdasarkan kes demi kes.

    Ketua polis itu juga memberi amaran bahawa rakyat yang bukan anggota keselamatan tetapi memberikan perkhidmatan mengiring kepada Mahathir boleh berdepan dengan pendakwaan.

    Katanya, kakitangan tidak terlatih seperti itu boleh menimbulkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

    "Saya harap Tun (Mahathir) memahami pendirian kita dalam mempunyai untuk menegakkan undang-undang negara dan perlembagaan kita," katanya.

    Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata pengiring polis untuk Mahathir sepatutnya ditarik balik lama dahulu.

    Menteri budaya dan pelancongan itu berkata Mahathir telah menggunakan pengiring polis untuk mengiringinya ke majlis-majlis yang menentang kerajaan.

    Sejak melancarkan Deklarasi Rakyat untuk menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, bekas perdana menteri itu juga disingkirkan daripada jawatannya sebagai penasihat Petronas. (MK)

    1 comment:

    1. Tula padah melawan najib. Lepas tu pulak pendirian tak tetap. Tentang najib suh najib letak jawatan tapi sayangkan UMNO. Rakyat dah benci UMNO CHEDET OI!!

      ReplyDelete