• Politik Terkini

    Wednesday, October 12, 2016

    Agong Baru Malaysia Pada Jumaat Ini. Siapa?


    Majlis Raja-raja akan mengadakan mesyuarat khas pada Jumaat ini bagi memilih yang di-pertuan Agong baharu.

    Tempoh perkhidmatan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang bermula 13 Disember 2011, akan berakhir 12 Disember ini.

    Berdasarkan sistem penggiliran ditetapkan Majlis Raja-raja, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sepatutnya menjadi yang di-pertuan Agong ke-15.

    Menurut laporan Bernama, terdapat beberapa faktor yang akan dipertimbangkan Majlis Raja-raja menerusi undi rahsia bagi menentukan pengganti seterusnya, seperti baginda yang dilantik berkenan untuk menjadi yang di-Pertuan Agong dan tidak mengalami kelemahan atau ketidakupayaan mental.

    Selain itu, baginda yang dilantik adalah raja yang berada di kedudukan teratas, mendapat sokongan sekurang-kurangnya 5 raja lain serta bukan seseorang yang memegang jawatan yang di-pertuan Agong selama 2 penggal berturut-turut.

    Mengikut kebiasaan sebelum proses pemilihan berlangsung, penyimpan mohor besar raja-raja terlebih dahulu akan menanyakan raja yang seterusnya dalam senarai giliran mengenai kesediaannya dipilih sebagai Agong.

    Sembilan raja berkenaan kemudiannya akan membuat undi rahsia dan sekiranya raja dalam senarai itu mendapat 5 undian, baginda dengan rasminya dipilih sebagai Agong seterusnya.

    Proses sama diulangi untuk memilih timbalan Agong yang akan memangku jawatan yang di-pertuan Agong semasa ketiadaan baginda di dalam negara atau kerana keuzuran.

    Sementara itu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini mempengerusikan mesyuarat Majlis Raja-raja Ke-242 di Istana Negara.

    Mesyuarat selama 2 hari itu dihadiri semua raja Melayu dengan diiringi menteri besar masing-masing.

    Yang Dipertua Negeri Melaka, Pulau Pinang dan Sabah turut hadir pada mesyuarat itu diiringi ketua menteri masing-masing.

    No comments:

    Post a Comment