Ini Sebab Pembangkang Johor Sedia Semeja Bersama UMNO


Pemimpin pembangkang Melayu Johor bersedia untuk mengetepikan perbezaan antara mereka dan Umno, dan duduk bersama untuk membincangkan isu-isu mengenai kepentingan orang Melayu.

Ini adalah selaras dengan saranan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar supaya mereka berbuat sedemikian dengan berlapang dada.
Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub; Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Shaharuddin Md Salleh; Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin; dan Pengerusi PKR Johor, Hassan Karim, semuanya menyatakan kesediaan mereka untuk duduk bersama bagi mengadakan perbincangan itu.
"Kami tiada masalah, kami sedia sahut saranan Tuanku Sultan," kata Abdullah ketika ditanya sama ada beliau bersedia duduk bersama Umno dan parti serpihan PAS, AMANAH.

Begitu juga dengan Shaharuddin yang berkata BERSATU sedia berbincang dengan semua parti, NGO dan kumpulan berkepentingan lain.

Bagi Salahuddin, perbincangan seperti itu akan membuka peluang kepada para pemimpin untuk membincangkan isu-isu negara tanpa dipengaruhi oleh politik.

"Kita banyak kali cuba bersama bincang isu negara tetapi kadang-kadang jadi isu politik yang melampau. Itu satu budaya yang tidak patut kita amalkan," kata pemimpin AMANAH itu.

Bagi Hassan, yang terbuka terhadap perbincangan seumpama itu, percaya ia bukan sekadar isu perpaduan orang Melayu sahaja.

"Negara kita berbilang kaum. Maknanya bukan isu perpaduan Melayu sahaja. Tetapi perpaduan untuk semua rakyat Malaysia," katanya.

Dalam satu kenyataan sempena hari keputeraan baginda ke-59, Sultan Ibrahim melahirkan rasa kebimbangan baginda terhadap kemelut yang menghantui orang Melayu pada masa ini dan menasihati semua pemimpin Melayu untuk bersama berbincang masalah bangsa dengan cara bermuafakat dan berlapang dada.

Baginda bertitah sebagai raja yang telah berjanji dan berikrar untuk menjaga kepentingan orang Melayu dan agama Islam maka baginda tidak akan membiarkan krisis perebutan kuasa antara pemimpin Melayu terus berlaku hingga membuatkan orang Melayu berpecah belah dan menjadi lemah.

Sumber : MK

Post a Comment

0 Comments